My Kampus


Salam

Untuk makluman kepada pelajar lepasan SPM yang berminat dan bercita-cita menjadi seorang guru, anda boleh meneruskan niat murni anda dengan meneliti tawaran permohonan yang dikemukakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Guru.

Program ini adalah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) khusus untuk melatih bakal-bakal guru dalam kalangan lepasan SPM dan sekiranya anda berjaya, anda dikehendaki melalui Peringkat Persediaan selama 18 bulan atau 3 semester DAN mestilah LULUS untuk ditawarkan Program Ijazah sepenuh masa selama 4 tahun atau 8 semester yang akan ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara.

Berikut adalah syarat asas untuk permohonan PISMP :-

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Umur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2012 iaitu lahir pada atau selepas 30 Jun 1992.
  3. Calon hendaklah sihat fizikal dan mental.
  4. Calon hendaklah aktif dalam kegiatan kokurikulum.
  5. Mempunyai kelayakan akademik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat cemerlang dalam mana-mana tiga mata pelajaran; DAN Sekurang-kurangnya kepujian dalam tiga mata pelajaran berikut:
    • Bahasa Melayu
    • Sejarah
    • Satu mata pelajaran yang lain serta;
    • Lulus Bahasa Inggeris
  6. Memenuhi syarat dan kelayakan khusus bidang pengajian yang dipohon

Permohonan hanya boleh dibuat melalui talian di laman web http://www.moe.gov.my/ bermula 22 Mac 2012 selepas tarikh pengumuman keputusan SPM pada 21 Mac 2012.

Permohonan hendaklah menggunakan nombor pengenalan individu (PIN) yang diperoleh di Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh Malaysia dengan bayaran sebanyak RM 6.00 mulai 22 Mac 2012.

TARIKH TUTUP PERMOHONAN 5 APRIL 2012.

Maklumat lanjut, sila rujuk gambar di bawah atau boleh melayari laman web KLIK SINI bermula 22 Mac 201. Semoga berjaya.

Salam

Pilihan raya kampus (PRK) 2011 sudah selesai dijalankan di semua universiti awam seluruh negara. Keputusan demi keputusan menerjah baik melalui laman berita mahupun laman sosial seperti Facebook dan blog. Satu perubahan atau dalam erti kata lain reformasi dalam PRK 2011 telah dijelmakan oleh mahasiswa pada hari ini. Sejak zaman kebangkitan mahasiswa sekitar tahun 1967 telah direalisasikan semula walaupun tidak sehebat pada zaman itu. Mungkin agak jauh ketinggalan dan perbezaan tampak ketara tetapi sedikit kebangkitan bahkan mungkin akan berterusan pada masa akan datang.

Begitulah hebatnya mahasiswa pada hari ini dalam konteks politik kampus baik yang menjadi calon untuk bertanding, jentera kempen dan sebagai pemilih/pengundi. Wujud persoalan di kala kebangkitan mahasiswa dalam politik kampus yakni sejauh mana penglibatan dan pengetahuan mahasiswa keseluruhannya tentang politik kampus? Kadang-kadang ada yang begitu aktif, ada pula yang sekadar endah tidak endah, ada pula yang memang tidak tahu dan ada pula yang beranggapan negatif tentang pengertian politik kampus.

Bagi yang aktif tentu lebih jelas makna sebenar politik kampus, manakala jenis mahasiswa yang endah tidak endah sekadar menjadi pengundi dan mungkin tidak mengundi. Berlainan pula mahasiswa jenis yang tidak tahu apa sebenarnya politik kampus, begitu juga yang berfikiran negatif tentang politik kampus yang menganggap politik kampus seperti politik luar (politik negara) yang tidak sepi dengan pelbagai pergolakan dan isu yang diketengahkan.

Cuba tanya diri kita sebagai mahasiswa yang sudah melalui zaman sekolah, zaman pembelajaran mengikut kemampuan otak kita untuk mengetahui sesuatu pengajaran, adakah tahap kita sebagai mahasiswa pada hari ini hanya tertumpu kepada pengajaran kuliah, buat tugasan dan peperiksaan? Jika begini, sebenarnya kita masih dalam zaman dulu atau zaman sekolah yang hanya menunggu guru mengajar, guru memberi latihan dan menjawab peperiksaan.

Mahasiswa bukan masanya untuk menerima segala pembelajaran sahaja tetapi mahasiswa lebih dari itu. Mahasiswa sudah ada pengetahuan, sudah ada ilmu dan pastinya sudah ada visi dalam diri untuk direalisasikan dalam kehidupan. Dunia boleh dikatakan sudah dihujung jari untuk kita jelajahi, malahan mata kita sendiri sudah mampu melihat dunia yang jaraknya sukar untuk kita selusuri dengan kemampuan kita sebagai mahasiswa ketika ini. Bagi yang menjadi mahasiswa jenis berkemampuan, mendapat tajaan pergi ke luar negara sudah pastinya 2 in 1 dunia dijelajahi dan diselusuri.

Tidak dinafikan setiap mahasiswa ada pengkhususan program pengajian dan bukan itu menjadi persoalannya untuk kita tidak menjelajahi luar bidang pengkhususan program pengajian kita. Bahkan mahasiswa yang sering dilabelkan mempunyai keintelektualan tinggi sebenarnya mampu mempelbagaikan ilmu yang ada di dunia ini. Ilmu politik, ilmu agama agak banyak untuk dipelajari. Sekiranya mampu berusaha untuk menggapai ilmu tersebut, semakin tinggilah darjat keintelektualan mahasiswa.

Ilmu itu luas dan ilmu itu banyak, selagi mana kita mampu menguasainya, usahakanlah sebaiknya. Hasilnya akan datang kepada diri kita juga malahan boleh dikembangkan kepada orang lain. Bak menyelam sambil minum air, begitulah hikmahnya dalam kehidupan kita yakni mendapat pahala menyampaikan ilmu bermanfaat kepada sekalian manusia. Pernah terbaca mutiara kata,  ‘di dalam dunia ini hanya ada dua golongan, golongan yang pertama ialah golongan yang belajar dan golongan yang kedua ialah golongan yang mengajar, selebihnya tidak berguna’

Jadi, mahasiswa pada hari ini dalam golongan mana. Adakah tergolong dalam golongan yang pertama atau golongan kedua? Kalau kedua-dua golongan ada dalam diri kita maka  itulah golongan yang paling terbaik. Janganlah jadi bukan golongan dunia ini yakni yang tidak berguna. Berusahalah untuk tidak tergolong dalam golongan yang tidak berguna. Hidup kita pasti akan lebih bermakna. Semoga kita dijauhi dari golongan yang tidak berguna tersebut.

Salam

Tamat sudah PRK Upsi dan boleh dikatakan PRK kali ini lain daripada yang lain sejak berada di kampus tahun 2008 hinggalah sekarang. Tiga PRK diadakan sepanjang berada di sini, hanya dua kali Syah dapat mengundi. Satu lagi atas masalah yang tak dapat dielakkan, masa pengundian Syah berada di Sabah.

PRK ketiga dan terakhir ini memberikan satu pengalaman yang baru. Penglibatan secara langsung dalam PRK walaupun bukan calon bertanding dan hanya sebagai wakil calon sudah memadai untuk dijadikan kenangan yang terindah dalam suasana PRK. Sebelum memasuki dunia kampus, sering mendengar isu dan berdebat dalam forum perbincangan isu-isu semasa dan kali ini sudah merasainya sendiri.

Senario PRK kali ini lebih hebat lagi berbanding dua PRK sebelum ini. Kebangkitan mahasiswa dan hiruk pikuk kempen menjadikannya satu polemik yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Baik ungkapan manis mahupun pahit semuanya jelas dan nyata yang pernah dihadapi. Sehingga kini pembentukan kabinet MPP atau lebih dikenali sebagai Majlis Perwakilan Pelajar sudah dimaktubkan. Hanya menunggu perlantikan rasmi bagi calon-calon yang telah menang bertanding.

Pemilihan Majlis Tertinggi dan Exco masih lagi hangat diperkatakan baik dalam blog mahupun Fan FB yang mewakili calon yang sudah dimaterai dalam PRK kali ini. Pelbagai persepsi, cetusan rasa, khabar angin dan sebagainya masih lagi menerjah pembacaan dan tergiang ditelinga. Apa taknya ketidakpuasan hati pihak atau calon tertentu dengan pembentukan kabinet baru masih didendangkan.

Persoalannya sehingga bila dendangan ini akan berakhir? Bak kata sesetengah orang, perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Terpulanglah, sebagai mahasiswa banyak perkara atau tugasan yang perlu dilunaskan lagi. Tugasan kursus, latihan ilmiah, pencarian sekolah untuk praktikum dan sebagainya menduga kita untuk beralih arah menghadapinya.

Apa pun, itu hak semua dan mahasiswa lebih bijak dan mempunyai intelektual yang tinggi untuk memikirkan perkara ini. Jangan semata-mata dendangan ketidakpuasan hati berakhir tanpa hasil yang memuaskan dan pada masa yang sama perkara utama sebagai tugasan mahasiswa terlentang, terbiar tanpa dijengah sedetik pun. Umpamanya yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat. Terbalik pula dah.

Usai coretan kali ini, untuk PRK kali ini calon Syah tak dapat membuahkan kejayaan dan pastinya ada hikmah yang cuba disampaikan. Apa pun percubaan yang terbaik dan usaha telah dilakukan, terletak dalam10 teratas dari 17 bertanding sedikit melegakan. Ada amanah yang lebih memerlukan calon ini dan itulah sebaik ketentuan Allah SWT terhadap hamba-hambaNya (ketika ini Azan Zohor baru berkumandang ketika menaip kalimah Allah SWT tadi). Takbir!!!. Allahu Akhbar.

Assalamualaikum

PRK UPSI semakin menghampiri detiknya untuk diumumkan bakal pemimpin baru sesi 2011. Sesi pengundian akan berakhir dijangka pukul 5.30pm hari ini. Aku sendiri turun mengundi sekitar pukul 12.00pm tadi sebelum berangkat meneruskan tugasan yang banyak tertangguh. Apa pun, satu pengalaman yang cukup berharga di akhir semester ini sebelum melangkah kaki ke alam praktikum.

Satu pengalaman walaupun bukan sebagai calon cumanya sekadar wakil calon a.k.a penasihat kepada rakan aku sendiri ianya amat bermakna. Ucapan terima kasih kepada rakan ini kerana sudi menjemput bersamanya berjuang meneruskan aspek kepimpinan dirinya lebih tinggi lagi bermula dari JMK Kuo. Seketika lagi, keputusan apa yang diperjuangkan akan diumumkan dan tidak sabar menanti sebenarnya segala usaha sudah pun dilakukan. Apa pun, segala keputusan yang kita terima nanti sama ada menang atau kalah kita akan terima sebagai satu cabaran untuk kita menempuhi tampuk kepimpinan lain pada masa akan datang.

Menang atau kalah memang adat bertanding dan hakikatnya kita kena terima seadanya. Kalau kemenangan berpihak, sekalung tahniah diucapkan. Sekiranya keputusan sebaliknya, jadikan sandaran untuk terus berusaha lagi. Paling penting, tidak usah menyalahkan sesiapa dan berdirilah di bumi yang nyata itulah kebenaran yang kita kena akui. Bukan mengalah tetapi apabila melihat semangat rakan seperjuangan di sebelah sana dan kepekaan mahasiswa/i pada hari ini mungkin sukar kita ramalkan kemenangan.

Pesanan ikhlas, jika sudah berada di sana jadilah sebaik pemimpin yang mahasiswa/i impikan dari anda semua. Mungkin sukar menjalankan kesemua apa yang dikehendaki atau akan diperjuangkan tetapi berusahalah pasti ada jalannya yang terbaik. Seorang pemimpin itu jika amanah sudah dipertanggungjawabkan kepadanya, hendaklah ia melaksanakan amanah itu penuh keikhlasan, kejujuran dan sifat kebijaksanaan. Paling utama adalah kehendak panduan agama seiring bersama disematkan dalam minda bagi merealisasikan penghasilan amanah yang diberkati oleh Allah SWT.

Setakat ini dahulu, akan bersambung selepas pengumuman keputusan PRK nanti. Kita jumpa di tempat pengumuman keputusan nanti. InsyaAllah.

Assalamualaikum

Sungguh malang nasib diri diperkatakan sedemikian tapi itulah hakikatnya yang perlu diakui dan diterima.  Tak sudah-sudah melabel diri itu ini. Sudahlah. Berbaliklah kepada perjuangan sendiri. Sana sini fitnah memfitnah dan paling malang melibatkan pihak yang berkepentingan. Apabila sudah begitu, pihak itu ini menuduh kononnya pihak A yang melakukan perkara tersebut atas sebab tidak bersama mereka atau tidak menyokong perjuangan mereka. Apakah, mengapakah jika kita tidak sehaluan dalam perjuangan kita dengan orang lain, kita mencerca bahawa apa yang diperjuangkan oleh pihak selain kita bukan menitikberatkan perjuangan yang betul? Persoalannya adakah perjuangan kita pula betul?

Kita kata kita dikhianati, kita diprovokasi, kita difitnah, mereka kejam kepada kita tetapi adakah kita sedar apa yang kita kata ini hakikat sebenarnya tanpa kita muhasabah diri kita? Muhasabah bahawa kita tidak mengkhianati mereka, kita tidak memprovokasi mereka, kita tidak memfitnah mereka, kita tidak kejam kepada mereka dan sebagainya. Kita memang pandai berkata-kata tetapi adakah kata-kata kita itu sudah sebenarnya kata-kata yang benar, jujur atau sepatutnya?

Laungan perjuangan semua orang boleh laungkan, kita beranggapan bahawa kita sudah benar dan berada di landasan perjuangan yang betul. Tetapi kita sedarkah bahawa orang lain pun akan beranggapan perjuangan mereka berada di landasan betul. Kita sering melaungkan bahawa kitalah membawa perjuangan yang sebenar, kitalah yang menegakkan keadilan dan dalam masa yang sama kita menidakkan perjuangan orang lain. Kita kata perjuangan mereka dicucuk hidung, tali barut, orang suruhan tetapi benarkah begitu? Salahkah cara mereka bertindak dengan cara demokrasi, cara bukan ekstrim, cara berhemah? Dalam agama sendiri ada ketetapannya. Fikirlah.

Tetapi pastinya kita mempertikaikan setiap apa cara yang mereka gunakan, kita kata demokrasi dikhianati, berhemah mereka sebab takut kepada pihak atasan dan sebagainya. Tidakkah kita terfikir bahawa walau di mana jua kita berada, kita di bawah undang-undang dan peraturan. Salahkah mereka menggunakan cara itu?  Diakui dalam setiap perkara di dunia ini akan ada cacat celanya, tetapi adakah kerana cacat cela itu kita terus mengatakan mereka sebagaimana apa yang kita katakan? Bila berkata sebegini, kita melabel mereka takut bersuara, dicucuk hidung. Sedarkah kita apa fungsi kita? Mengeluh, mengadu pelbagai, sikit-sikit komplen? Inikah fungsi kita?

Apa sebenarnya yang kita kehendaki dalam perjuangan ini? Adakah kita ditindas, kita mati kelaparan, berjalan kaki ke kuliah dan macam-macam lagilah. Pendek akal sebenarnya kalau berfikiran sebegini. Adakah selama ini nasib kita merempat di sini, terbiar dan adakah pemimpin itu tidak berjuang sebaiknya? Memang mereka pandai buat kerja, adakah kerja itu bukan kerja memperjuangkan hak? Hak sebenarnya apa yang diperjuangkan lagi? Hak apa?

Adakah hanya hidup di dunia ini mengkehendaki sesuatu dengan mudah, suka hati nak apa sahaja? Itukah maksud hak? Nak percuma, nak bersenang-lenang? Kalau nak tahu, itulah punca kita dibelenggu tak maju berbanding orang lain. Semua nak mengharap, semua benda senang diperoleh. Kalau berani perjuangkan hak tetapi kerja tak buat, adakah itu ciri seorang pemimpin? Bolehkah hak dapat dicari kalau kerja pun tak sepadan dengan cara perjuangan. Fikirlah.

Kalau anda rasa calon aku ni layak ‘bekerja’ untuk anda, undilah. Kalau tak, anda menentukannya sendiri. Aku hanya membantu untuk calon aku bukan berada di bawah pihak mana.

NAZIRAH ADILAH BINTI SAMSUL BAHARIM

CALON UMUM

P/s : lu nak label wa mcm mana pun, lu labellah. wa ada prinsip sendiri tp lu jangan kata wa dicucuk hidung, takut perjuangkn hak sbb wa tau perjuangan wa mcm mana. lu dgn perjuangan lu, wa dgn perjuangan wa TAPI jgn sesekali menidakkan perjuangan org lain n mnganggap perjuangan lu btul. berdirilah di atas perjuangan sendiri dgn pemerhatian n kajian menyeluruh. Salam perjuangan.

Assalamualaikum

Pilihan Raya Kampus sudah semakin berada pada tahap ‘panas’ ketika ini. Sehari saja lagi semua calon dan jentera akan berkempen untuk menyakinkan mahasiswa/i Upsi memilih mereka sebagai pemimpin kelak. Setiap malam sejak gendang ‘perang’ PRK dibunyikan, sebagai ‘penasihat’ calon iaitu rakan aku sendiri sibuk untuk melancarkan kempen, tampal dan gantung poster. Dalam masa yang sama boleh dikatakan ‘seronok’ tatkala memerhatikan suasana Rapat Umum oleh calon selain diberi peluang bercakap kepada mahasiswa/i, provokasi tidak lekang dalam dunia politik baik dalam dan luar kampus.

Esok, 21.02.2011 adalah hari membuang undi untuk menentukan siapakah yang layak menerajui MPP kali ini. Lima parti bersaing antara satu sama lain, dan wujudnya persaingan yang agak sengit dengan kerusi umum sahaja yang  lima kerusi yang dipertandingkan direbut oleh 17 calon dari lima parti ini. Calon aku, boleh lihat di bawah sebagai calon UMUM. Aku ketepikan seketika prinsip aku untuk aku memberi laluan menjadi ‘penasihat’ kepada rakan aku yang aku rasakan mampu untuk bekerja nanti. Aku sudah bersama dia mengharungi dunia JMK Kuo selama satu sesi dan banyak program yang telah dianjurkan dapat dilaksanakan sebaiknya oleh rakan ni. Atas dasar itu, aku percaya dia mampu menggerakkan perjuagan kebajikan mahasiswa/i khususnya dengan lebih baik lagi.

 

NAZIRAH ADILAH BINTI SAMSUL BAHARIM

CALON UMUM

SELAMAT MENGUNDI, PILIHLAH CALON BERDASARKAN KELAYAKAN

Assalamualaikum

Hari ini Pilihan Raya Kampus Upsi sudah bermula untuk penamaan calon yang berlangsung di Bitara Siswa sekitar pukul 8 pagi hingga 1.oo petang. Aku tak dapat menjadi pencadang/penyokong kepada rakan calon yang bakal bertanding untuk PRK kali ini disebabkn kuliah dari pagi hinggalah ke petang. Petang tadi pula menghadiri taklimat praktikum bersama Penyelaras program Pengajian Malaysia.

Berpeluang bertemu rakan di ruang legar Bitara Siswa untuk mengetahui perkembangan perjalanan penamaan calon pada hari ini. Pertemuan dengan rakan dan beberapa rakan lain yang turut memberi sokongan sedikit sebanyak melegakan disaat pihak lawan melalui laman sosial bertungkus lumus emcari pengikut sejak semalam.

Apa pun, masih terlalu awal meramalkan sesuatu yang bakal berlaku. PRK kali ini sungguh sengit selepas syarat menjadi calon iaitu perlu mengikuti kursus kepimpinan dibatalkan oleh pihak Upsi. Justeru, membuka peluang kepada sesiapa saja untuk menjadi calon. Apa yang dimaklumkan oleh rakan yang bertanding ini, 5 kerusi sahaja lebih kurang 24 calon yang bertanding. Sengit-sengit. Malam ini juga, aku menerima mesej makluman akan ada rapat umum di kolej aku menginap ni. Kita bakal saksikan karenah semua ini.

P/s ; Atas perjuangan seorang rakan, prinsip diketepikan seketika

Laman Berikutnya »