Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Sekian lama tak mencoret, idea buntu agaknya. Kali ini berceloteh pula tentang sambutan hari guru di sekolah baru-baru ini.

Tarikh 16 Mei berlalu sudah. Pastinya hari yang penuh bermakna kepada insan yang bergelar guru kerana kerjaya guru mendapat perhatian pada tarikh ini. Pelbagai aktiviti dan program dijalankan oleh semua sekolah pastinya untuk mengangkat hari yang penuh bermakna kepada semua guru. Pelajar juga pastinya yang sibuk meraikan hari yang amat bermakna untuk guru mereka. Kisahku di sekolah pada hari bermakna ini mungkin antara aktiviti yang menarik sekali dialami oleh para guru dan juga para pelajar. Kegembiraan, keceriaan dan keseronokan dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan menjalinkan hubungan yang amat baik antara guru dan pelajar serta sesama guru khususnya.

Sejak hampir setahun berkhidmat di sekolah ini dan bergelar guru, satu saja yang aku inginkan selama ini iaitu sesi bergambar bersama semua guru. Akhirnya terlaksana juga hasil idea guru pengelola sambutan majlis hari guru tahun ini bersama pelajar-pelajar pra universiti. Itulah antara kenangan yang ingin diabadikan sebagai satu kesatuan antara semua guru di sekolah ini. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan juga cukup menarik tetapi aku tak dapat mengikuti keseluruhan aktiviti atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan (perbincangan bersama beberapa orang pelajar pra u untuk persediaan menghadapi peperiksaan STPM penggal 2).

20130516_080225

Guru-guru SMK Tagasan

Apa pun, hari yang amat bermakna untuk aku sendiri dan para guru serta semua yang terlibat. Terima kasih juga kepada pelajar yang telah memberikan hadiah sempena hari guru ini. Sangat dihargai hadiah tersebut dan kata-kata yang tersisip dibungkusan hadiah tersebut amat menyentuh hati. Sentiasa mendoakan kejayaan anda semua. Berusaha dan terus berusaha. Pasti kejayaan akan hadir juga cuma lambat dan cepat sahaja. Minggu depan, pelajar pra u yang aku ajar akan menghadapi peperiksaan STPM penggal 2. Ujian pertama untuk aku melihat sejauh mana hasil pengajaranku kepada pelajar-pelajarku dalam konteks peperiksaan sebenar. Moga pelajar-pelajar pra u sekolah ini dipermudahkan untuk menghadapi peperiksaan ini. Hanya mampu memberi pengajaran yang sehabis baik, segala kekurangan akan diperbaiki lagi.

Jom tonton video majlis sambutan hari guru 2013 untuk acara nyanyian lagu Kami Guru Malaysia dan lafaz ikrar guru-guru smk tagasan semporna sabah.