Assalamualaikum

Tarikh 1 Januari 2013 kita sudah berada di dalamnya. Tahun 2012 sudah berlalu meninggalkan kita. Sudah tentu tahun yang sudah berlalu tidak akan kembali lagi. Hanya kenangan dan peristiwa yang berlaku pada 2012 dan tahun sebelum-sebelum ini menjadi ingatan bahkan menjadi sejarah untuk diberi perhatian. Perhatian bermaksud dari aspek mengambil ikhtibar dan pengajaran dari alkisah yang lepas bagi mengharungi kehidupan mendatang yang belum pasti kita akan dapat mengecapinya.

– 01.01.2013..Ku ‘pinang’ kau dengan Bismilah. Semoga dipermudahkan – adalah status Facebook aku yang pertama pada tarikh ini. Mungkin rakan Fb yang melihatnya beranggapan aku telah memilih seseorang sebagai teman hidup dan mungkin juga mereka beranggapan sebagai permulaan untuk mengharungi tahun baru dengan lafaz Bismillah yakni bersedia untuk mengharungi apa jua perkara mahupun peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang khususnya pada tahun 2013 ini. Tanggapan kedualah yang betul. Haha.

02.01.2013 hari permulaan penggal persekolahan sesi baru tahun 2013 dan beberapa amanah atau tanggungjawab telah diberikan ketika mesyuarat kali pertama sekolah tempat aku bertugas 31.12.2012 yang lalu. Pastinya ada amanah yang cukup besar walaupun sebelum ini sudah dimaklumkan pada sesi persekolahan tahun lepas. Paling menarik tugas baru ialah diamanahkan untuk mengajar mata pelajaran Pengajian Am tingkatan 6. Mungkin inilah detik yang aku tunggu-tunggu sejak mula ditempatkan di sekolah ini pada bulan 5 tahun lepas. Mata pelajaran berfokuskan opsyen yang dipelajari semasa di universiti dulu.

Antara perasaan gembira atau tidak, bagi aku tugas ini satu cabaran baru dan sedikit gembira kerana diberi peluang mengajar mata pelajaran ini. Perasaan tidak gembira pula, tidak dapat meneruskan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan 4 dan 5 yang sebelum ini dimaklumkan akan dikekalkan pada tahun ini JIKA guru Pengajian Am ketika itu tidak berpindah ke sekolah lain. Harapan untuk menilai prestasi sendiri ketika mengajar mata pelajaran BM tidak dapat diketahui apabila kelas yang diajar akan menghadapi peperiksaan SPM tahun ini.

Sekurang-kurangnya dapat juga mengetahui prestasi dan dapatan yang dihasilkan apabila pelajar ini menerima keputusan SPM pada tahun hadapan. Apalah perasaan pelajar kelas yang telah aku ajar tahun lepas apabila mengetahui aku tidak mengajar mereka lagi, khususnya kelas yang aku pegang selaku guru tingkatan mereka. Huhu..(tengah menaip ni, tertiba pelajar kelas aku mesej ke HP bertanya bila buka sekolah). Seperti tahu-tahu saja mereka disebut-sebut. Hoho..

Apa pun, redha dengan arahan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Berusaha melakukan yang terbaik dengan tugas baru ini kerana kelas yang diajar akan menghadapi peperiksaan penggal pada pertengahan tahun ini. Mungkin dapat dinilai sejauh mana didikan dan pengajaran dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Hanya mampu berusaha dan menjayakan tugas ini dengan lebih bertanggungjawab lagi selain tugas-tugas lain khususnya Penyelaras Pusat Sumber yang pastinya memerlukan komitmen lebih besar lagi bila melihat keadaan pusat sumber perlu dimulakan dari bawah semula. Redha dan berfikir positif adalah lebih baik agar amanah dapat dilaksanakan dengan jayanya. All the best.

 d

s

Simbol OK tangan tu, tanda OK dengan tugas baru (gambar ni diambik seorang rakan 2 jam sebelum tibanya tahun 2013)

by,

Akubah

01.01.2013 (3.54pm)

Kuarters guru

Advertisements