Salam

Perkembangan dunia pendidikan selaras dengan kemajuan negara memberi ruang kepada masyarakat khususnya pelajar meningkatkan lagi pengetahuan mereka dalam pelbagai bidang. Pelbagai transformasi negara telah didendangkan sana sini dan pastinya perubahan ini sedikit sebanyak mempengaruhi sektor pendidikan untuk dikembangkan kemampuannya dalam erti kata menyesuaikan dengan situasi pembangunan negara.

Untuk itu, sistem pendidikan negara melalui Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 4 Januari 2012 telah meluluskan pelaksanaan sistem pentaksiran baru Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menggantikan sistem pentaksiran sedia ada STPM bagi sesi pengambilan pelajar 6 Rendah tahun 2012/2013 yang dikenali sebagai Sistem Modular seperti pengajian di Universiti melibatkan pengajian mengikut sistem penggal.

Pelaksanaan sistem ini, pelajar akan mengikuti 3 penggal mengikut sukatan pelajaran dan bidang disiplin pengajian selama satu tahun setengah. Surat Pemberitahuan dan Pekeliling berkenaan sistem ini boleh rujuk gambar di bawah atau layari laman web Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk mengetahui lebih banyak lagi info seperti sukatan pelajaran terbaru dan lain-lain lagi. Link SINI:

Sistem yang baru, sistem yang sepatutnya difahami secara menyeluruh dari segi pelaksanaan khususnya dalam suasana proses pengajaran dan pembelajaran nanti. Tapi pastinya pihak yang memperkenalkan sistem ini sudah sehabis baik memikirkan sejauh mana keberkesanannya terhadap peningkatan prestasi pelajar dan pengenalan awal kepada pelajar bagi menghadapi dunia sebenar pengajian di Universiti selepas tamat STPM.

Bagi aku sendiri, mungkin perubahan sistem ini bukan mudah untuk kita sesuaikan dengan suasana pembelajaran bagi seorang guru yang selama ini pernah mengajar pelajar Tingkatan 6. Manakala untuk pelajar pula yang akan terlibat dalam perubahan ini, mereka tidak perlu risau dan hanya mengikut arahan-arahan dari guru disebabkan mereka pun baru mengikuti pengajian Tingkatan 6.

Aku nak fokuskan kepada sistem pengajaran dan pembelajaran bagi matapelajaran Pengajian Am sebab aku pun tidak pasti lagi sama ada aku akan diberi amanah untuk mengajar mata pelajaran ini berdasarkan opsyen pengajian di Universiti iaitu Pengajian Malaysia dengan Pendidikan, matapelajaran inilah yang lebih difokuskan namun terpulang kepada pihak sekolah menentukan matapelajaran mana yang perlu aku ajar selepas cuti ni. Rujuk bawah, opsyen Pengajian Am :

                                   (Tawaran opsyen yang tertera dalam surat penempatan)

23hb Mei lapor diri dan hanya 3 hari selepas tu cuti sekolah 2 minggu tidak cukup masa rasanya untuk perbincangan matapelajaran apa yang akan diajar. Apa pun, menunggu jadual mengajar apabila buka sekolah nanti. Menerima seadanya mata pelajaran yang diamanahkan kelak sebab sebagai seorang guru apa jua amanah diterima dengan sebaiknya dan cuba berusaha memberikan pengajaran yang terbaik kepada pelajar. Semoga kita tergolong dalam guru yang sentiasa memacu hala tuju dan transformasi negara ke arah yang lebih dinamik khususnya mendidik anak bangsa dengan keikhlasan.

Teringat kata-kata seorang bekas guru yang pernah mengajar semasa aku berada di tingkatan 6 dahulu, ” mengajar tu biar ada keikhlasan, kerana dari keikhlasanlah lahir amanah dan komitmen yang pastinya menjanjikan kejayaan pelajar kita “. Itulah yang paling penting, keikhlasan dalam segala hal. Keluhan mengajar jauh dari daerah sendiri, mengajar jauh di pedalaman, mengajar bukan opsyen dan pelbagai keluhan lagi, cuba usahakan untuk menerimanya dan pastikan sifat ikhlas itu ada. All the best.

by,

Shorab Semporna

Pulau Bum-Bum Semporna

31.5.2012