Selayang pandang luahan dari anak murid :

” cikgu, janganlah cikgu pindah ” , ” cikgu, nanti cikgu datang sekolah ni balik ya ” , ” kalau cikgu keluar dari sekolah ni, siapa yang ajar kami nanti ” , ” cikgu mengajar sini ja, tak payah pindah “.

Nukilan kepada ‘mereka’ yang berkenaan :

Pertengahan bulan Mac yang lalu, sesi temu duga untuk Permohonan Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bagi calon guru lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari Institut Pendidikan Awam Malaysia (IPTA) telah berakhir dengan jayanya.

Dianggarkan lebih kurang 5000 calon bakal guru keluaran IPTA terlibat dalam sesi temu duga kali ini yang kebanyakannya dilaksanakan di lokasi terdekat semua calon. Terima kasih kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas usaha ini yang memberi gambaran bahawa kebajikan bakal guru diutamakan sebaik-baiknya.

Ketika bakal guru menanti sesi temu duga dahulu, KPM telah melaksanakan program Guru Interim di seluruh negara kepada calon guru IPTA dan usaha ini sedikit sebanyak melegakan ribuan calon yang ditawarkan untuk berkhidmat secara sementara bagi menunggu penempatan hakiki semua calon yang berjaya dalam sesi temu duga. Program ini boleh dikatakan bahawa kekurangan guru di sekolah masih lagi dalam situasi membimbangkan untuk diisi oleh bakal guru secepat yang mungkin.

Apabila berada dalam situasi ini, besarlah harapan bakal guru untuk diberi perhatian yang wajar sama ada yang telah menerima tawaran guru interim mahupun yang tidak menerima tawaran tersebut. Dapat diperhatikan bahawa, suasana sekolah yang kekurangan guru merencatkan lagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh di sekolah. Natijahnya, ada dalam kalangan pelajar bahkan beberapa kelas tertentu tidak dapat belajar sepenuhnya akibat situasi kekurangan guru atau guru lama cuti bersalin dan terlibat dalam cuti tertentu.

Oleh itu, harapan dan impian semua bakal guru untuk mendidik anak bangsa dapat direalisasikan sejajar dengan matlamat KPM antaranya iaitu menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara dan memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia. Jadi jelas bahawa, keperluan guru dan murid khususnya saling melengkapi antara satu sama lain.

Tarikh 31 Mac 2012 akan berakhirlah tempoh perkhidmatan guru interim seluruh negara seperti yang tertera dalam surat tawaran perlantikan guru interim. Jadi apakah selepas tarikh ini akan ada sinar baru kepada para graduan ISMP untuk diberi penempatan hakiki? Jika diperhatikan pelaksanaan guru interim ini lebih berfokus kepada pengisian sementara kekurangan guru di seluruh negara, maka apabila tempoh perkhidmatan ini berakhir jelas bahawa kekurangan guru akan wujud lagi. Mungkin pihak KPM sudah mengaturkan strategi terbaik dalam usaha memastikan sekolah yang mengalami kekurangan guru dapat diatasi sebaik mungkin.

Diakui bahawa, pihak KPM telah melaksanakan program dan dasar pendidikan yang begitu komited untuk semua pihak bagi memastikan sistem pendidikan negara terus berkembang maju seperti saranan dalam Falsafah Pendidikan tentang penglibatan guru untuk memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Semoga bakal guru bagi calon IPTA mendapat perhatian sepenuhnya dari semua pihak untuk diberi penempatan dalam masa terdekat ini.

by,

Shorab Semporna (26.3.2012)

Sabah

 

Advertisements