Sekadar persepsi

“ Mengajar untuk pelajar bukan semata-mata mengajar untuk sekolah “

Kalau difahami maksud kata-kata yang direka sendiri bagi aku sendiri begitu mendalam untuk difahami dan dihayati. Dalam dunia pendidikan, sebenarnya tugas guru amatlah besar sekali. Mengajar dan mendidik seringkali diperdebatkan mempunyai perbezaannya tersendiri yakni mengajar lebih didefinisikan kepada tugas hakiki guru manakala mendidik lebih kepada tugas guru yang berterusan sehinggalah apa yang dikehendaki oleh guru dan pelajar dapat dicapai.

Apa yang aku cuba sampaikan melalui kata-kata di atas adalah sebagai guru, fokus terbaik untuk mendidik atau mengajar adalah lebih mementingkan apa hasil yang diperoleh oleh pelajar tersebut. Tidak dinafikan, kecemerlangan sekolah juga dititikberatkan namun perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah memberi kecemerlangan kepada pelajar terlebih dahulu. Bukan semata-mata mengharapkan kecemerlangan sekolah dengan memberi tumpuan kepada segelintir pelajar yang dikatakan mampu melonjakkan prestasi sekolah.

Jika sebegitu tanggapan pihak tertentu, bagaimana pula pelajar yang tidak mampu melonjakkan nama atau prestasi sekolah? Mereka juga pelajar di sekolah. Oleh itu, pendekatan terbaik adalah memberi komitmen kepada semua lapisan atau kelompok pelajar sama ada kelompok bijak, sederhana atau kurang minat belajar. Sebab itu, tugas mengajar atau mendidik fokuskan kepada pelajar terlebih dahulu secara automatik jika usaha dan pendekatan berkesan kecemerlangan sekolah akan tercapai.

Bukan sahaja melibatkan kelompok pelajar yang bijak bahkan kelompok pelajar yang merasakan diri mereka tersisih mendapat kecemerlangan walaupun tidak sehebat mereka yang bijak. Namun sekurang-kurangnya mereka ini sudah mampu untuk bangkit dari kepompong tidak minat belajar atau sekadar datang ke sekolah sebagai syarat utama seorang pelajar.

Memang diakui setiap apa yang diinginkan bukan mudah untuk dicapai walaupun sudah membuat pelbagai persediaan, pendekatan dan usaha. Semuanya berbalik kepada pelaksanaan yang sebaik-baiknya sama ada melibatkan pelajar itu sendiri khususnya dan juga para guru. Ini yang perlu diteliti sebenarnya iaitu permasalahan pelajar yang kurang rasa minat untuk belajar.

Adakalanya ke sekolah hanya sebab risaukan bebelan ibu bapa di rumah, ketika berada di sekolah mereka tidak mengikuti sesi pengajaran dengan sepenuhnya. Ada di antara mereka ponteng kelas, tidak memberi perhatian dalam kelas malahan ada juga yang bersifat ‘aktif’ membuat kegiatan yang melanggar disiplin sekolah.

Nampak begitu rajin datang ke sekolah tetapi bukan semata-mata untuk belajar, mereka lebih gemar berjumpa rakan-rakan untuk berborak kosong, lepak di kawasan tertentu, membuat gangguan kepada guru atau rakan pelajar. Apa sebenarnya pelajar ini kehendaki dalam usia mereka yang semakin meningkat remaja? Keseronokan? Hiburan? Bersosial?

Pelbagai usaha pihak sekolah, kaunseling berterusan, program motivasi, surat amaran semuanya sekadar usaha yang adakalanya berkesan tetapi hanya dalam masa singkat. Kemudiannya mereka kembali ke naluri asal mereka. Memang ada dalam kalangan mereka yang boleh dan dapat diperbaiki, jadi bagaimana hala tuju mereka yang hanya mendengar telinga kiri keluar telinga kanan?

Permasalahan ini, sedikit sebanyak merencatkan usaha guru dan pihak sekolah merangka kecemerlangan secara bersama. Apa lagi usaha untuk menarik kelompok-kelompok ini untuk bersama-sama merealisasikan matlamat utama mereka datang ke sekolah? Hakikat yang patut diterima, dalam apa jua perancangan pasti ada cacat celanya. Itulah kebenarannya. Apa yang penting, mengajarlah dan mendidiklah mereka sebaik-baiknya.

Itulah tugas seorang guru kerana wujudnya seorang guru disebabkan adanya pelajar untuk diberi pengajaran. Cuma penerimaan pelajar itu sahaja belum tentu dapat direalisasikan oleh pelajar secara baik atau sebaliknya.

Kata dan madah kepada mereka yang bergelar bakal guru dan guru khususnya :

” Dalam apa jua yang kita lakukan, adakalanya membuatkan orang lain berasa berduka atau gembira. Oleh itu, lakukanlah apa juga untuk membuatkan orang lain terus berasa gembira bukannya berasa berduka ” Cikgu SS.

By,

Shorab Semporna (24.03.12)