Detik itu ‘rasa’ sesuatu

Bukan diminta tapi muncul tiba-tiba

Ketika noktah perasaan masih kabur

Apakah benar ‘rasa’ itu ?

Apakah benar perasaan akan dinoktahkan?

Entah apa sebenarnya.

 

Melewati detik itu

Hati merencana sesuatu

Menyelongkar pelusuk segenap hati

Bertanyakan bait-bait perasaan

Di lubuk sanubari akankah berputik?

Apakah hati akan berbunga?

 

Menongkah arus perasaan

Sebenarnya ingin menerjah ruang

Kehidupan baru untuk masa depan

Andainya benar dan nekad

Disandarkan pada usaha

Mengakhiri pencarian sebenar

Bilakah masa itu akan datang?

Esok, bulan depan, tahun hadapan?

Atau bila sebenarnya?

 

Terkedu seketika menerima pengkhabaran

Hatinya mahukan impian

Memintal tali-tali kekuatan taqwa

Menyiram suburnya keimanan

Mengharap redha dan rahmat Ilahi

Impiannya seindah syurga di sana

Menukilankan perasaan

Bersama perjuangan yang kekal abadi

Mendambakan kasih Hablu Minallah

Mengeratkan kasih Hablu Minannas

Tekadnya tak boleh disangkal

Itulah tugas setiap makhluk bergelar manusia

 

Keindahan harapan

Tetiba kabus menyinggah perasaan

Seolah kabur dek dipersimpangan

Katanya mohonlah kepada Allah

Katanya berusahalah ke arahnya

Katanya lagi, biarkan masa itu datang

 

Saat sudah sedar akan prinsipnya

Saat sudah faham kehendaknya

Tiada keterpaksaan menyatukan dua hati

Kerana satu hati itu sudah mengukirkan madah

Kerana satu hati itu pula menoktahkan kata

Katanya Biarkan masa itu datang

 

Benarlah

Biarkan masa itu datang

Jika sudah bersedia segalanya

Biarkan masa itu datang

Jika sudah menambat dua hati ke arah taufikNya

Biarkan masa itu datang

Jika takdir menentukan dua hati itu tertulis jodoh

Pasti diturutkan

Dengan penantian ke penghujung kisah kasih

Ya…biarkan masa itu datang

 

by, Akubah

Semporna 3.2.2012

 

Advertisements