Assalamualaikum

Dalam mencari pasangan dalam Islam, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” Riwayatkan Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Setelah kita meneliti sabda Rasulullah s.a.w ini terdetik di hati adakah kita mampu mencari seseorang yang telah dikriteriakan oleh nabi besar kita ini yakni yang beragama kerana jaminan kita akan bahagia. Rasulullah s.a.w seorang manusia terulung dan teragung di sisi Allah swt, kita pastinya sudah tahu apa yang beliau sampaikan adalah yang paling terbaik untuk umatnya.

Pada hari ini, suasana dunia saban hari penuh dengan liku-liku kehidupan tatkala setiap manusia mencari jalan kehidupan yang benar-benar diredhai dan mencari bekalan untuk kehidupan di akhirat kelak. Manusia tak terlepas dari segala dugaan apatah lagi dalam soal mencari pasangan hidup. Kita sering mendengar permasalahan rumah tangga setelah diijab kabulkan, permasalahan remaja dan golongan dewasa dalam mendefinisikan erti cinta yang sebenar.

cinta kepada Allah SWT, cinta remaja, mencari qurratuaini, motivasi
Dalam gerbang perkahwinan, lihatlah saja isu-isu hari ini, kes cerai, ditinggalkan suami atau isteri, tak pelik juga ibu bapa ditinggalkan anak dek kekhilafan memahami erti cinta yang sebenar lantas menerjah minda kita seorang yang dinikahi itu akan lebih bahagia andainya memilih yang beragama. Adakah situasi yang berlaku ini disebabkan pengabdian terhadap agama kurang dititikberatkan?

Begitu juga remaja-remaja dan golongan dewasa tak juga kurang hebatnya permasalahan yang melanda. Alaf baru ini mencari pasangan ataupun kekasih seumpama memetik jari pasti akan ada yang datang. Tak kira baik lelaki mahu pun perempuan yang melakukan sedemikian. Cumanya adakah pasangan yang telah ditemui itu benar-benar impian kita atau sekadar pelengkap kononnya kita telah mendapat kekasih seterusnya menjalinkan cinta.

Tapi jangan lupa, kes-kes pembuangan bayi, penzinaan, tangkap khalwat, anak lari dari rumah dan pelbagai lagi masalah membuatkan kita terfikir, apakah cara yang mereka gunakan untuk mencari pasangan atau cinta dalam konteks jalan untuk ke gerbang perkahwinan. Apatah lagi remaja kini, belasan tahun, masih dibangku sekolah sudah ada pasangan kekasih. Wahai adikku sayang, apakah kamu sudah bersedia mengharungi dugaan percintaan yang tak diketahui ertinya yang sebenar? Adakah kamu sudah bersiap jiwa dan raga mengharungi dunia cinta apatah lagi kamu masih dibangku sekolah yang perlu banyak masa lagi menghabiskan bertahun-tahun lamanya?

cinta kepada Allah SWT, cinta remaja, mencari qurratuaini, motivasi
Dalam tempoh masa tersebut memang akan berlaku perkara diluar dugaan. Apabila kita memperkatakan hal ini, kita dikatakan ketinggalan zaman dek pemikiran kita sebegitu. Terpulanglah, rasanya kita sendiri sudah tahu apa yang dinamakan cinta, isi karut marutnya jika tak diikuti dengan sebenar-benar panduan yakni syariat agama. Lafaz kasih sayang, rindu dendam, ego cemburu sudah biasa kedengaran dalam berpasangan. Sungguh romantik saat itu rasanya. Tapi jangan alpa, kerana pelbagai lafaz inilah mengundan bencana mungkin bagi orang lain tak menjadi masalah besar tetapi kenapa perlu terjebak kalau sudah tahu akibatnya.

cinta kepada Allah SWT, cinta remaja, mencari qurratuaini, motivasi
Pilihlah yang beragama, beragama yang bukan sekadar tahu ilmu hukum hakam, batas syariat, ilmu penuh di dada tetapi yang paling penting adalah sejauh mana ilmu tersebut dimanfaatkan, dipraktikkan sebaik-baiknya. Memang sukar sekiranya sudah sama-sama ada rasa cinta tetapi berusahalah untuk menjaga cinta tersebut dan ingatlah Pencipta cinta selalu bersama kita saat kita dilanda masalah dan dugaan. Apa yang utamanya sentiasalah ingat kepadaNya, patuhi suruhanNya dan jauhilah laranganNya. Pasti hidup kita lebih bermakna di dunia dan di akhirat.

Aku tertarik dengan kata-kata ini yang Aku jumpa di alam maya ini, kata-kata ini mungkin ditujukan khas bagi yang sedang asyik dalam bercinta. Renung-renungkan dan selamat beramal.

“Kita cuma perlu ubah cara kita bercinta, dengan menjadikan cinta itu bermatlamat, iaitu syurga”

P/s : Sekiranya ada khilaf dalam penulisan/luahan ni, harap mendapat teguran sebaiknya, masih dalam proses belajar