Assalamualaikum

Minggu praktikum sudah masuk minggu ke-3. Kemudiannya sekolah akan bercuti selama 2 minggu. Mungkin tempoh cuti ni refleksi semula apa yang telah dilakukan baik mengajar mengikut jadual waktu sendiri mahupun kelas ganti dan persekitaran sekolah. Masih terasa kekurangan yang amat banyak lagi untuk menghadapi dunia sebenar bergelar guru. Pastinya mengharapkan lebih baik lagi pada masa akan datang.

2 minggu di sekolah, terlibat dalam satu program lawatan sambil belajar ke Terengganu dan Kelantan anjuran Pra U sekolah. Keseronokan melanda tatkala menjejakkan kaki ke pantai timur Semenanjung Malaysia untuk pertama kalinya. Sekalipun pernah merancang untuk ronda habis semua negeri di Malaysia ini selama tempoh belajar. Buat masa ini, hanya Melaka dan Johor sahaja lagi belum dijejaki. Mungkin satu hari nanti.

Lawatan 3 hari 2 malam begitu menyeronokkan bersama guru-guru pengiring dan pelajar Pra U walaupun baru seminggu menjejakkan kaki ke sekolah dan pastinya untuk menyesuaikan diri cuba dilakukan sebaiknya. Semuanya berjalan dengan lancar dan banyak pengalaman yang dapat diperoleh khususnya melawat tempat-tempat yang menarik, sekolah elit dan sebagainya.

Apa pun, entry ini akan bersambung untuk paparan gambar semasa program lawatan dan cerita yang menarik bakal dihidangkan di dalam blog ini. Esok ke sekolah seperti biasa, banyak kerja yang perlu dilunaskan lagi.

Shorab Syed Ali

Kulim, Kedah