Assalamualaikum

Blog sudah lama tak update, terasa malas nak update. Semalaman terfikir pula untuk mencoretkannya di sini. Sekarang ini sudah berada di negeri utara yang pernah ingin dikunjungi semasa di bangku sekolah dulu. Akhirnya tercapai juga walaupun hanya menjalankan latihan mengajar selama tempoh 3 bulan setengah.

hari guru 2011, guru penjana transformasi pendidikan negara

Hari ini, hari yang cukup bermakna untuk semua guru di Malaysia kerana tarikh keramat 16 Mei setiap tahun adalah tarikh kebesaran untuk semua guru. Hari inilah menjadi hari penuh kesayuan, kegembiraan dan suka duka yang menggamit perasaan tatkala guru dirai dengan aktiviti seperti sukaneka, persembahan pelajar dan sebagainya.

Begitu juga di sekolah tempat aku menjalankan latihan mengajar, hari ini terasa satu perasaan yang menggamit kenangan lalu ketika zaman sekolah menyambut majlis hari guru seperti membuat persembahan dan ucapan. Kali ini, kenangan itu kembali semula tetapi berbeza keadaannya. Pelajar membuat persembahan dengan seloka senda gurau, ucapan hari guru kepada diri ini dan menerima kad ucapan serta hadiah.

Terima kasih kepada pelajar yang berbuat demikian, ingatkan guru pelatih tidak semeriah guru biasa rupanya sama-sama berkongsi semuanya pada hari ini.

Apa pun, satu pesanan hari guru bukan untuk tarikh 16 MEI tapi hari guru mengajar, mendidik adalah hari guru tak kira bila tarikhnya. Jangan hanya pada tarikh ini kita hanya menghargai atau menghormati guru tapi pada hari lain sebaliknya. Seomoga anak murid sekalian sentiasa menghargai guru lebih-lebih lagi tunjuk ajar dimanfaatkan sebaiknya. Itulah harapan seorang guru.

Selamat hari guru.

Shorab Syed Ali

Kulim Kedah