Salam

Tamat sudah PRK Upsi dan boleh dikatakan PRK kali ini lain daripada yang lain sejak berada di kampus tahun 2008 hinggalah sekarang. Tiga PRK diadakan sepanjang berada di sini, hanya dua kali Syah dapat mengundi. Satu lagi atas masalah yang tak dapat dielakkan, masa pengundian Syah berada di Sabah.

PRK ketiga dan terakhir ini memberikan satu pengalaman yang baru. Penglibatan secara langsung dalam PRK walaupun bukan calon bertanding dan hanya sebagai wakil calon sudah memadai untuk dijadikan kenangan yang terindah dalam suasana PRK. Sebelum memasuki dunia kampus, sering mendengar isu dan berdebat dalam forum perbincangan isu-isu semasa dan kali ini sudah merasainya sendiri.

Senario PRK kali ini lebih hebat lagi berbanding dua PRK sebelum ini. Kebangkitan mahasiswa dan hiruk pikuk kempen menjadikannya satu polemik yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Baik ungkapan manis mahupun pahit semuanya jelas dan nyata yang pernah dihadapi. Sehingga kini pembentukan kabinet MPP atau lebih dikenali sebagai Majlis Perwakilan Pelajar sudah dimaktubkan. Hanya menunggu perlantikan rasmi bagi calon-calon yang telah menang bertanding.

Pemilihan Majlis Tertinggi dan Exco masih lagi hangat diperkatakan baik dalam blog mahupun Fan FB yang mewakili calon yang sudah dimaterai dalam PRK kali ini. Pelbagai persepsi, cetusan rasa, khabar angin dan sebagainya masih lagi menerjah pembacaan dan tergiang ditelinga. Apa taknya ketidakpuasan hati pihak atau calon tertentu dengan pembentukan kabinet baru masih didendangkan.

Persoalannya sehingga bila dendangan ini akan berakhir? Bak kata sesetengah orang, perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Terpulanglah, sebagai mahasiswa banyak perkara atau tugasan yang perlu dilunaskan lagi. Tugasan kursus, latihan ilmiah, pencarian sekolah untuk praktikum dan sebagainya menduga kita untuk beralih arah menghadapinya.

Apa pun, itu hak semua dan mahasiswa lebih bijak dan mempunyai intelektual yang tinggi untuk memikirkan perkara ini. Jangan semata-mata dendangan ketidakpuasan hati berakhir tanpa hasil yang memuaskan dan pada masa yang sama perkara utama sebagai tugasan mahasiswa terlentang, terbiar tanpa dijengah sedetik pun. Umpamanya yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat. Terbalik pula dah.

Usai coretan kali ini, untuk PRK kali ini calon Syah tak dapat membuahkan kejayaan dan pastinya ada hikmah yang cuba disampaikan. Apa pun percubaan yang terbaik dan usaha telah dilakukan, terletak dalam10 teratas dari 17 bertanding sedikit melegakan. Ada amanah yang lebih memerlukan calon ini dan itulah sebaik ketentuan Allah SWT terhadap hamba-hambaNya (ketika ini Azan Zohor baru berkumandang ketika menaip kalimah Allah SWT tadi). Takbir!!!. Allahu Akhbar.