Assalamualaikum

Sungguh malang nasib diri diperkatakan sedemikian tapi itulah hakikatnya yang perlu diakui dan diterima.  Tak sudah-sudah melabel diri itu ini. Sudahlah. Berbaliklah kepada perjuangan sendiri. Sana sini fitnah memfitnah dan paling malang melibatkan pihak yang berkepentingan. Apabila sudah begitu, pihak itu ini menuduh kononnya pihak A yang melakukan perkara tersebut atas sebab tidak bersama mereka atau tidak menyokong perjuangan mereka. Apakah, mengapakah jika kita tidak sehaluan dalam perjuangan kita dengan orang lain, kita mencerca bahawa apa yang diperjuangkan oleh pihak selain kita bukan menitikberatkan perjuangan yang betul? Persoalannya adakah perjuangan kita pula betul?

Kita kata kita dikhianati, kita diprovokasi, kita difitnah, mereka kejam kepada kita tetapi adakah kita sedar apa yang kita kata ini hakikat sebenarnya tanpa kita muhasabah diri kita? Muhasabah bahawa kita tidak mengkhianati mereka, kita tidak memprovokasi mereka, kita tidak memfitnah mereka, kita tidak kejam kepada mereka dan sebagainya. Kita memang pandai berkata-kata tetapi adakah kata-kata kita itu sudah sebenarnya kata-kata yang benar, jujur atau sepatutnya?

Laungan perjuangan semua orang boleh laungkan, kita beranggapan bahawa kita sudah benar dan berada di landasan perjuangan yang betul. Tetapi kita sedarkah bahawa orang lain pun akan beranggapan perjuangan mereka berada di landasan betul. Kita sering melaungkan bahawa kitalah membawa perjuangan yang sebenar, kitalah yang menegakkan keadilan dan dalam masa yang sama kita menidakkan perjuangan orang lain. Kita kata perjuangan mereka dicucuk hidung, tali barut, orang suruhan tetapi benarkah begitu? Salahkah cara mereka bertindak dengan cara demokrasi, cara bukan ekstrim, cara berhemah? Dalam agama sendiri ada ketetapannya. Fikirlah.

Tetapi pastinya kita mempertikaikan setiap apa cara yang mereka gunakan, kita kata demokrasi dikhianati, berhemah mereka sebab takut kepada pihak atasan dan sebagainya. Tidakkah kita terfikir bahawa walau di mana jua kita berada, kita di bawah undang-undang dan peraturan. Salahkah mereka menggunakan cara itu?  Diakui dalam setiap perkara di dunia ini akan ada cacat celanya, tetapi adakah kerana cacat cela itu kita terus mengatakan mereka sebagaimana apa yang kita katakan? Bila berkata sebegini, kita melabel mereka takut bersuara, dicucuk hidung. Sedarkah kita apa fungsi kita? Mengeluh, mengadu pelbagai, sikit-sikit komplen? Inikah fungsi kita?

Apa sebenarnya yang kita kehendaki dalam perjuangan ini? Adakah kita ditindas, kita mati kelaparan, berjalan kaki ke kuliah dan macam-macam lagilah. Pendek akal sebenarnya kalau berfikiran sebegini. Adakah selama ini nasib kita merempat di sini, terbiar dan adakah pemimpin itu tidak berjuang sebaiknya? Memang mereka pandai buat kerja, adakah kerja itu bukan kerja memperjuangkan hak? Hak sebenarnya apa yang diperjuangkan lagi? Hak apa?

Adakah hanya hidup di dunia ini mengkehendaki sesuatu dengan mudah, suka hati nak apa sahaja? Itukah maksud hak? Nak percuma, nak bersenang-lenang? Kalau nak tahu, itulah punca kita dibelenggu tak maju berbanding orang lain. Semua nak mengharap, semua benda senang diperoleh. Kalau berani perjuangkan hak tetapi kerja tak buat, adakah itu ciri seorang pemimpin? Bolehkah hak dapat dicari kalau kerja pun tak sepadan dengan cara perjuangan. Fikirlah.

Kalau anda rasa calon aku ni layak ‘bekerja’ untuk anda, undilah. Kalau tak, anda menentukannya sendiri. Aku hanya membantu untuk calon aku bukan berada di bawah pihak mana.

NAZIRAH ADILAH BINTI SAMSUL BAHARIM

CALON UMUM

P/s : lu nak label wa mcm mana pun, lu labellah. wa ada prinsip sendiri tp lu jangan kata wa dicucuk hidung, takut perjuangkn hak sbb wa tau perjuangan wa mcm mana. lu dgn perjuangan lu, wa dgn perjuangan wa TAPI jgn sesekali menidakkan perjuangan org lain n mnganggap perjuangan lu btul. berdirilah di atas perjuangan sendiri dgn pemerhatian n kajian menyeluruh. Salam perjuangan.