Assalamualaikum

Pilihan Raya Kampus akan bermula lagi untuk sesi 2011. Kampus Syah baru sahaja mengeluarkan notis pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2009/2010 yang akan dibubarkan pada 14 Februari 2011. Tarikh mengundi dan penentuan siapa yang akan menjadi pemimpin atau MPP 2011 akan diketahui jangkaan tarikh 22 Februari.

Sebentar tadi lepak bersama rakan serumah hangat membincangkan beberapa perkara atau isu yang sering didendangkan sana sini. Walaupun tak menyentuh secara mendalam setiap isu dan mungkin sekadar untuk mengaktifkan diri untuk mengetahui suasana PRK kali ini. Salah seorang rakan serumah bercadang untuk menjadi calon PRK kali ini. Sudahnya bagi kami yang sudah semakin hampir menamatkan pengajian sedikit sebanyak memberikan tips mahupun pandangan tentang PRK sejak sekian lama menjadi mahasiswa.

Teringat kisahnya PRK sesi lepas, Syah pernah diajak untuk bergabung dengan beberapa kumpulan mahasiswa untuk bertanding dalam PRK tu. Cumanya Syah kurang berminat ataupun dalam erti kata lain cenderung sebagai pemerhati sahaja walaupun boleh dikatakan aktif dalam berpersatuan semasa di bangku sekolah dan sebagai exco kolej semester lalu. Bukan riak nak kata diri hebat tetapi sekadar pengalaman untuk dikongsi.

Lagi pun kepimpinan ini mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dan Syah sendiri tidak mampu melakukannya. Akhirnya kumpulan ini dan beberapa rakan Syah berjaya menjadi MPP dan jelas wujud banyak pertelingkahan pendapat dalam kalangan pucuk pimpinan. Memang itu lumrahnya dunia politik kampus akan wujud dua golongan atau aliran yang masing-masing ada ideologi mereka sendiri.

Apa pun, PRK satu perkara asas kepimpinan dalam diri seorang mahasiswa mahupun seorang pelajar yang melibatkan dirinya. Apabila sudah dilantik segala tanggungjawab dan amanah sedang dipikul untuk dijayakan sebaiknya. Hal inilah sering menjadi kekecohan atau sindiran mahasiswa lain tentang amanah yang dipertanggungjawabkan sama ada berjaya atau sebaliknya. Manifesto atau janji semasa menjadi calon dan ketika bertanding sudah asam garam dalam pemilihan pemimpin. Justeru, sejauh mana manifesto yang diilhamkan dan sudah dihebohkan kepada mahasiswa lain dapat diterjemahkan ke arah yang sebaiknya. Mungkin sukar dan mungkin juga mudah.

Perhatikan sahaja universiti lain baik semasa PRK atau sebelum dan selepasnya wujud suasana yang tidak diinginkan dalam sesebuah institusi yang dikatakan melahirkan golongan intelektual. Syah tidak berminat untuk menceritakannya di sini dan kita boleh tahu isu-isu yang menghantui dunia politik kampus sejak dari dulu lagi sehinggalah sekarang. Itulah dinamakan pro dan kontra dalam satu-satunya kepimpinan.

Lumrah sebenarnya keadaan ini berlaku dan tidak akan berakhir begitu sahaja. Lebih-lebih isu besar dalam kampus yang mampu menyumbang kejayaan calon ini nanti dijanjikan jalan penyelesaian terbaik. Pokok pangkalnya ada dalam diri seorang pemimpin itu. Jika baik sistem kepimpinan baiklah anak buahnya dan begitu jugalah sebaliknya. Tetapi kena diingat juga ada perkara lain menyumbang kepada keadaan ini berlaku baik dari dalaman kampus atau dari luaran kampus. Sama-samalah kita fikirkan.

P/s ; Bersambung untuk liputan selepas penamaan calon nanti.

Advertisements