Assalamualaikum

Dua hari tak update blog dek kesibukan dengan dunia kampus yang sudah semakin diterjah dengan beberapa tugasan. Kali ini ingin mencoretkan sudut perspektif yang berlatarbelakangkan pengisian dalam satu filem tayangan yang bertajuk Aku Masih Dara. Baca saja tajuknya sudah tentu pelbagai tanggapan akan muncul dibenak minda untuk dirungkai khususnya penyampaian isi dalam filem ini.

Syah terdengar/terbaca tajuk filem ini, terbayang ianya satu filem yang mengisarkan fenomena sosial yang berlaku melibatkan maruah dan nafsu. Sebelum Syah sendiri menonton filem ini, kedengaran desus desas yang mengatakan filem ini tak sesuai untuk dipaparkan dan pengisian yang disampaikan tak menepati cara yang digunakan.

Tetapi melalui penceritaan rakan dan bacaan sampingan tentang filem ini Syah tak memberi kesimpulan awal walaupun Syah boleh agak babak-babak yang tak sepatutnya dipertontonkan mahupun dilakukan oleh pelakon filem ini. Syah hanya berfikiran positif dan khabar dari rakan yang telah menonton filem ini menjelaskan ada sesuatu yang perlu diambil kira oleh penonton dari setiap jalan cerita filem ini yakni pengajaran berguna.

Baru sebentar tadi Syah telah menonton filem ini dalam youtube dan betullah apa orang kata, babak-babak kurang sesuai sebaiknya diperhalusi kaedahnya seperti pemakaian dan skrip adegan tertentu. Tapi sebenarnya filem ini memang banyak pengajaran seumpama satu filem keagamaan yang sarat dengan nasihat, teguran dan ilmu baru bagi mereka yang menyelaminya secara positif.

Dari sudut positifnya, penyampaiannya agak berjaya dan setiap babak yang berunsurkan nasihat mampu menyentuh hati bagi penontong yang pernah mengalaminya atau mungkin satu keinsafan menjelma dari lubuk hati. Filem yang agak terus kepada penonton dari segi isi kandungannya boleh dipuji, pastinya penonton berasa sedikit tersentuh gelagat watak dan perwatakan mereka bercakap soal agama.

Setiap filem semestinya ada pengakhiran yang baik atau mesej akhir kepada penonton, begitu jugalah dalam filem ini. Kesudahan yang baik dan nasihat yang berguna disebalik seorang watak yang baru berubah namun kembali semula ke perwatakan lamanya seperti suara latar pengakhirran cerita ini. Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11″…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…”

Apa pun, secara keseluruhannya filem ini memberi kesedaran kepada kita tentang dunia sosial yang semakin menguasai muda mudi ketika ini. Pergaulan bebas dan kerosakan akhlak sudah jelas dan ketara melanda anak remaja khususnya dan sedikit sebanyak merisaukan semua pihak terutamanya ibu bapa. Begitu juga sifat ingin mengetahui atau mempelajari agama dek kehidupan yang penuh dosa menjadikan satu intipati bahawa setiap masalah dan dugaan dalam kehidupan ada jalan penyelesaian yang terbaik iaitu berbalik kepada agama yakni Al-Quran dan sunnah.

Jadi perlunya timbul keinsafan dalam diri kita, bukan hanya mengisi lapang semata-mata menonton filem ini. Tetapi disebalik masa lapang itu ada satu sumber dan info yang mampu menzahirkan penambahbaikan dalam kehidupan kita. Semoga bermanfaat. Apa pun, sentiasa berfikir positif dalam segala hal kerana di sebaliknya ada sesuatu yang boleh dijadikan pedoman kehidupan.

Gambar dari www.budiey.com

Advertisements