Assalamualaikum

Tatkala melihat kebangkitan golongan muda baik golongan mahasiswa atau bukan mahasiswa yang  dikatakan menuntut hak dan keadilan mengingatkan Syah untuk menyelusuri perjuangan seorang pejuang Islam yang cukup tersohor pada zaman pemerintahannya dan zaman Perang Salib dulu. Keberanian dan akhlak terpujinya membuatkan pihak musuh adakalanya tunduk tanpa wujud pertumpahan darah. Dunia Barat amat mengkagumi keberanian pejuang Islam ini. Namun pada hari ini wujud lagikah perjuangan yang pejuang Islam ini anjurkan ketika zamannya? Ataupun adakah wujud seperti tindak tanduknya yang boleh menyenangkan pihak lain untuk bersemuka?

Inilah pejuang Islam Salahuddin Al-Ayubi. Syah masih lagi mengukuhkan pengetahuan tentang pejuang Islam ini. Memang diakui kehebatannya tiada tandingan pada hari ini untuk menegakkan syiar Islam. Dunia Islam kelihatannya kurang menitikkan perpaduan. Masing-masing berkelahi sesama sendiri atas desakan kepentingan tertentu. Apatah lagi pemimpin yang menjadi pak turut dunia Barat sehinggakan pimpinan berkecamuk dan mengabaikan kepentingan agama itu sendiri. Kita hanya mampu mendengar pemimpin Iran yang lantang bersuara terhadap gangguan pihak Barat terhadap masyarakat dunia khususnya dunia Islam.

Pemimpin lain hanya sekadar memberi pandangan namun bak angin bertiup untuk berlalu begitu sahaja. Banyak negara Islam yang rakyatnya hidup dalam keadaan yang sengsara dan rasa tidak selamat angkara kepimpinan yang pincang. Palestin khususnya saban hari ada sahaja berita yang menyayat hati. Pihak tertentu hanya mementingkan diri, nilai kemanusiaan bukan lagi pegangan apatah lagi menjaga agama orang lain. Hormat menghormati sesama agama pada zaman pejuang Islam ini sebaiknya dititik beratkan oleh semua pemimpin walau bagaimamapun bukan Islam sahaja perlu bertolak ansur tetapi agama lain juga sepatutnya melakukan perkara yang sama.

Ikuti kisah pejuang Islam ini dengan keluhuran budi akhlaknya tentang nilai kemanusiaan. Syah peroleh maklumat ni dari blog http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com/ . Semoga bermanfaat untuk kita.

MENGENANG SALAHUDDIN AL-AYUBI

REJAB yang sewajarnya diberi perhatian bukanlah kepada ibadah puasanya, tetapi yang seharusnya diangkat ialah tentang peristiwa-peristiwa yang ma’thur seperti pembebasan semula Baitul Maqdis oleh tentera Islam di bawah panglima perang Salehuddin Al Ayubi yang berjaya ditawan pada hari Jumaat 27 Rejab 583 Hijriah.

Diriwayatkan dalam sebuah kisah yang menarik, setelah Sultan Salahuddin al-Ayyubi berjaya menawan kembali Baitul Maqddis, beliau berjalan-jalan di sekeliling kota. Tiba-tiba beliau disapa oleh seorang lelaki tua beragama Kristian, katanya: “Wahai pahlawan agung, mengapa tuan tidak membalas semula tindakan kejam tentera salib terhadap tentera tuan?”

Jawab Sultan Salahuddin: “Wahai orang tua, agama kami bukan sahaja melarang sifat balas dendam, tetapi sangat menegah tindakan di luar batas perikemanusiaan seperti yang pernah musuh-musuh kami lakukan. Islam menyuruh kami menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman pihak musuh ketika mereka berkuasa.”

Orang tua itu berkata lagi: “Alangkah indahnya agama tuan! Saya ingin sangat menikmati kehidupan yang indah seperti itu pada sisa-sisa akhir hidup ini. Apakah yang patut saya lakukan untuk memeluk agama tuan yang mulia ini?”

Sultan Salahuddin menjawab: “Lafazkanlah syahadah, beriktikadlah bahawa Allah SWT itu Maha Esa dan Muhammad itu Rasul-Nya. Kemudian kerjakanlah apa yang Allah Taala perintahkan dan tinggalkanlah segala larangan-Nya.” Mendengar penjelasan itu, lelaki itupun terus mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh keyakinan. – al-Kurauwi

Sumber : KLIK SINI