Salam

Berita mengejutkan dalam dunia politik negara apabila seorang lagi Adun di DUN Merlimau meninggal dunia malam tadi akibat serangan jantung. Al Fatihah. Pastinya akan ada lagi pilihan raya bakal menyusul. Sebelum ini kita pernah dikejutkan juga dengan berita pemergian Adun DUN Tenang dan tak lama lagi pilihan raya kecil kawasan tersebut akan diadakan pada 30 Januari ini. Kalau kita perhatikan sudah banyak pilihan raya kecil diadakan sejak pilihan raya umum ke 12 yang lalu.

Semalam juga sumber berita melaporkan Speaker DUN Selangor mengumumkan bahawa kerusi DUN Pelabuhan kosong apabila dikatakan Adun yang berkhidmat di kawasan ini tak menghadiri sidang DUN selama 6 bulan. Namun, ianya dinafikan oleh Adun tersebut dan proses rayuan akan dibuat oleh beliau. Sekiranya gagal dalam rayuan, akan berlaku lagi pilihan raya. Tak semena-mena kejadian sebegini berada dalam luar jangkaan kita. Kita boleh katakan pemergian beberapa Adun atau Ahli Parlimen ini adalah ketentuan yang Maha Kuasa. Itulah takdirNya.

Siapa sangka pilihan raya kecil yang sudah berlangsung sebelum ini adakalanya memihak kepada wakil yang telah memenanginya semasa PRU 12 yang lalu dan adakalanya juga memihak kepada wakil baru dari parti politik tertentu. Kita tak menduga perkara ini boleh berlaku, ianya seakan-akan membayangkan PRU yang ke-13 menyaksikan satu proses demokrasi yang agak sengit pastinya. Pilihan raya kecil ini menampakkan tanda sokongan awal kepada pihak yang akan bertanding baik kepada parti Kerajaan mahupun parti Pembangkang.

Namun, tak semestinya pihak yang menang dalam pilihan raya kecil ini akan menang dalam PRU yang ke-13 nanti. Sukar untuk dijangka kerana permainan politik itu amat licik jika diikuti sepenuhnya. Pihak pembangkang dan Kerajaan akan cuba untuk menarik sokongan rakyat untuk memihak kepada mereka. Kiranya pilihan raya kecil ini kayu pengukur dan ada ura-ura juga mengatakan bahawa tanda-tanda awal kebangkitan rakyat dalam menilai suasana landskap politik negara yang ada sahaja gelagat, isu mahupun permasalahan berlegar-legar dalam pemikiran rakyat.

Apa pun, hak mengundi atau memilih adalah hak rakyat. Kita tak boleh memaksa mereka untuk memilih parti itu ini bahkan semuanya bergantung kepada usaha kedua-dua belah pihak. Adakah kedua belah pihak ini boleh menyakinkan rakyat bahawa mereka mampu membawa perubahan yang lebih baik atau sebaliknya, itu terpulang kepada mereka. Rakyat hanya menunggu masa untuk menanda wakil tertentu atas dasar kepercayaan mereka atau penilaian terbaik mereka.

Tapi kita tak lari dari pergolakan dalam setiap pilihan raya. Ada sahaja yang tak kena. Masing-masing mempertahankan agenda sendiri dengan kata lain merekalah jaguh sebenar. Semua itu tak penting jika sekadar permulaan untuk proses pilihan raya tetapi selepasnya tak berfunsi, maka rakyat boleh beralih kepada pihak yang lebih memahami mereka dalam pilihan raya masa akan datang. Siapa boleh jangkakan rakyat berpihak kepada parti mana, itulah namanya undi adalah rahsia.

Kadang kala terfikir juga kenapa tak diberikan saja DUN yang kosong itu kepada pihak yang memenanginya sebelum ini? Bukankah mengadakan pilihan raya baru akan hanya membazirkan duit. Bayangkan jika 3 pilihan raya berlaku dalam 2 bulan ini secara berasingan, kira sendirilah kos/belanja pilihan raya yang digunakan. Tapi mungkin sudah ditetapkan sebegitu dalam peraturan dan namanya proses demokrasi, hak rakyat juga kena diutamakan. Mungkin wakil rakyat dulu tak menjalankan tanggungjawab sebaiknya, mungkin pilihan raya baru merubah wakil rakyat yang terbaik. Siapa tahu…