Salam

Sudah lama tidak menukilkan sesuatu yang berbentuk perahan idea disebabkan sibuk dengan kuliah dan beberapa perkara yang menidakkan otak tidak dapat memerah idea lebih mendalam. Kali ini cuba untuk menukilkan sesuatu yang sudah biasa kita dengar, perkatakan malahan menjadi buat mulut khususnya melibatkan gelanggang politik negara. Konsep yang diperkenalkan oleh setiap Perdana Menteri (PM) negara kita itulah yang akan dikemudikan untuk dicoretkan di sini. Cumanya hanya mengambil konsep yang diperkenalkan oleh PM bermula dari Tun Mahathir selaku PM yang ke-3, Tun Abdullah selaku PM yang ke-4 dan terkini PM Dato’ Najib.

Tun Mahathir dengan konsepnya yang agak jauh kehadapan yakni Wawasan 2020 sering kali menjadi igauan dan tatapan kita untuk berusaha mencapainya selain peranan pihak kerajaan sejak pentadbiran beliau sehinggalah kini tidak putus-putus untuk menterjemahkan konsep ini ke arah hala tuju yang sebaiknya. Manakala Tun Abdullah yang mengetengahkan konsep Islam Hadhari sudah cukup membuatkan kita khususnya parti pembangkang mempolitikkan bahawa konsep ini merupakan ajaran baru atau lebih dikatakan ajaran Islam yang tersasar. Bukan saya yang mengatakan tetapi kita boleh nilai, dengar mahupun baca di media massa dan juga elektronik berkenaan konsep ini.

Begitu juga konsep 1Malaysia yang dicanangkan oleh Dato’ Najib turut dikecohkan dengan beberapa tanggapan yang bagi kita adalah cukup mengelirukan bagi kita yang tidak memahami konsep ini sepenuhnya. Tanggapan ini lahirnya dari kaca mata politik pihak pembangkang yakni berunsurkan konsep yang dilaungkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berpangkalan di Singapura semasa zaman Singapuran menyertai gabungan pembentukan negara Malaysia. Dikatakan bahawa PAP mempunyai “cawangan” politiknya di negara ini sejak Singapura dikeluarkan dari gasasan Malaysia pada tahun 1965 iaitu Democratic Action Party (DAP).

Selain itu, persepsi konsep ini turut digelarkan sebagai meniru konsep beberapa negara antaranya One Israel sehinggalah muncul isu Malaysia menjadikan syarikat dari Israel iaitu APCO menasihati pemerintahan Malaysia. Begitu juga Indonesia yang menggunakan 1Indonesia. Dalam hal ini saya kurang jelas siapa yang memulakan konsep ini sama ada Malaysia atau Indonesia. Tamat di sini tentang pengenalan dan isu berkaitan dengan ketiga-tiga konsep ini. Saya sekadar menjelaskan mengikut perspektif saya sendiri berdasarkan pemerhatian dan pokok pangkal konsep ini sendiri. Bagi yang tidak bersetuju dengan penjelasan ini, point utama adalah semua manusia mempunyai pandangan atau pendapat sendiri, oleh itu berfikir secara berhemah untuk menerima pendapat orang lain. Bukan mendabik dada dengan perspektif saya tetapi sekadar memerah idea untuk diketengahkan. Sebarang kritikan dan komen dialu-alukan.

Pertama sekali saya jelaskan berkenaan dengan Wawasan 2020, bagi saya konsep ini lebih kepada usaha kita untuk berusaha mencapainya. Dalam erti kata lain, setiap manusia mempunyai impian untuk digapai. Mungkin itulah yang boleh digambarkan tentang konsep yang diperkenalkan ini. Apa yang penting, usaha semua pihak untuk berusaha mencapainya dengan peranan, langkah dan kerjasama yang perlu dititikberatkan. Mungkin bagi kita untuk mencapai sesuatu perkara yang belum pasti agak sukar difikirkan lebih-lebih lagi melihat situasi politik, ekonomi dan sistem masyarakat pada zaman ini. Konsep ini lebih terarah kepada hasrat untuk menjadikan negara ini negara maju pada tahun 2020. Sekarang kita sudah berada pada tahun 2010, cuma 10 tahun lagi untuk melihat hasilnya. Persoalannya adakah gambaran sudah jelas kita sudah bersedia menghadapi impian tersebut?

Kita boleh nilaikan sendiri dengan pemerhatian, kajian dan situasi negara pada masa kini. Apa yang saya tekankan adalah impian negara bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai jika pelbagai pihak seringkali menidakkan segala usaha kerajaan baik untuk kepentingan negara mahupun rakyat. Lain lagi beberapa pihak memperlekehkan konsep ini malahan ianya dikatakan sekadar retorik kosong pemimpin negara untuk mengaburi mata rakyat sedangkan usaha yang dilakukan hanyalah untuk kepentingan pemimpin itu sendiri. Kita tidak boleh menghalang orang lain memberikan pandangan baik yang berbentuk positif atau negatif bahkan ianya sebagai pengkaji kelemahan dalam apa jua perkara yang kita usahakan. Dalam salah satu cabaran konsep ini yakni penekanan terhadap dunia IT, bagi ini antara perkara penting pada zaman ini seterusnya pada masa hadapan. IT mempunyai peri pentingnya yang tersendiri dalam semua perkara sehingga dikatakan dunia di hujung jari, semua perkara dalam dunia ini boleh diketahui dengan pantas.

Begitu juga pengenalan dunia IT dalam sistem politik, ekonomi khususnya kecanggihan IT sedikit sebanyak membantu perkembangan ekonomi negara, jadi tidak hairanlah 10 tahun akan datang IT menjadi platform utama dalam semua urusan yang berkaitan. Adakah kita turut memberikan kerjasama atau berusaha membantu kerajaan mencapai hasrat Wawasan 2020 ini? Apa peranan yang kita boleh lakukan baik sebagai pemimpin politik, pelajar, pekerja atau lain-lain untuk mengemudi sasaran ini? Apa kata Nabil Raja Lawak, Lu Fikirlah Sendiri. Maksud saya, kita tahu apa peranan kita dan kita tahu apa kerajaan kehendaki dari kita dan begitu juga sebaliknya.

Konsep yang kedua, Islam Hadhari. Saya bukanlah pakar ilmu agama untuk menjelaskan konsep ini dari sudut ilmu agama tetapi sekadar menjelaskan secara umum apa yang tersirat ataupun sudah tersurat dari laungan konsep ini. Bagi saya, konsep ini bukanlah satu bentuk ajaran baru tetapi satu peringatan kepada diri kita sebagai umat Islam untuk memantapkan lagi ketaqwaan kita kepada Maha Pencipta. Dalam kata lain, konsep ini membawa kita untuk merenung kembali iman kita dan hala tujunya. Sekurang-kurangnya laungan konsep ini mengingatkan yang alpa bahawa Islam semestinya digunapakai dalam semua aspek kehidupan. Bagi yang tidak alpa ianya menambahkan lagi ketaatan kita sebagai umat Islam yang berkonsepkan tauhid kepada Allah SWT.

Bersambung.,..

2.15am

KUO