Salam

Akhirnya tugasan politik selesai juga. Di bawah ini sedikit isi tugasan bahagian Penutup yang telah diedit. Sekadar persepsi yang terlintas melihat fenomena dunia politik pada hari ini. Lebih-lebih lagi PRK Galas akan diadakan tidak lama lagi. Layan…

Alkisahnya…

Kekuatan parti politik untuk memerintah negara bergantung kepada mandat rakyat yang telah memilih pemimpin untuk menyuarakan kebajikan mereka. Pemimpin yang berjiwa rakyat dan sentiasa berkhidmat untuk kepentingan negara akan terus dipercayai oleh rakyat untuk memimpin. Maka, tidak hairanlah pemimpin parti Perikatan dan Barisan Nasional mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negara ini sehingga mampu menjadi parti politik tunggal memerintah negara sehingga kini. Betul ke?

Peralihan dari Perikatan ke Barisan Nasional boleh dikatakan membantu kepada kekuatan sokongan rakyat untuk melihat anjakan yang dilakukan sama ada pemimpin membawa negara ke mercu kemajuan yang diinginkan. Harapan dan sokongan rakyat dengan keyakinan untuk terus bersatu padu demi merealisasikan keberkesanan jentera pentadbiran parti politik yang berbilang kaum menjana kemajuan negara di mata dunia. Aspek terpenting adalah sejauh mana harapan rakyat dapat dikotakan dan dilaksanakan sepenuhnya begitulah peranan serta tanggungjawab pemerintah yang sepatutnya ada dalam diri pemimpin.

Justeru, bagi melihat dan menggapai hasrat pemerintah atau parti politik khususnya BN untuk meneruskan pemerintahan hendaklah berpijak di bumi yang nyata bahawa rakyat adalah penentunya. Jika pemimpin dan parti politik tidak menjayakan mandat rakyat, pilihan raya satu kemestian dalam kerajaan demokrasi berparlimen untuk rakyat memilih pemimpin yang lebih baik lagi. Sumbangan dan kebajikan yang mampu dilakukan sebaiknya diterima oleh rakyat kerana rakyat berhak menerima malahan rakyat jugalah menentukan turun naiknya pemimpin atau parti politik negara.