Salam

16 September


Tarikh keramat ini begitu bermakna khususnya pada hari tersebut yakni 16 September 1963 apabila Sabah dan Sarawak bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Negara Malaysia. Hari ini jelas hubungan gabungan ini masih terus utuh walaupun pelbagai dugaan datang menimpa dari aspek tuntutan negara jiran, pergolakan politik dan sebagainya.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Sumber : www.arkib.gov.my

Petikan dari laman Arkib Negara ini menjelaskan bahawa Pengisytiharan Malaysia oleh Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra dengan semangat perpaduan dua negeri dari kepulauan Borneo dan Tanah Melayu. Saban tahun perpaduan terus dinikmati dan begitulah juga peranan pihak kerajaan Pusat tidak membiarkan kedua-kedua negeri ini ketinggalan dalam arus pembangunan.Lihat sahaja perkembangan pembangunan terus menerus dijalankan baik dalam jangka masa yang pendek mahupun dalam jangka masa yang panjang.


Aspek politik juga menampakkan semangat juang khususnya parti kerajaan untuk terus memerintah negara. Ranjau kelangsungan dalam dan luar negara meniti arus kemajuan negara disepakati bersama dan diusahakan untuk meneruskan kejayaan pembangunan merangkumi masyarakat berbilang bangsa serta agama. Justeru, teruskan perjuangan memerintah negara dan eratkan perpaduan serta jauhkan persengketaan yang menggugat keamanan negara.

Merdeka !!!

Akubah

11.38pm

15.09.2010

KUO