Salam

Selamat hari raya saya ucapkan terlebih dahulu. Keduanya ucapan tahniah kepada Ketua Polis Negara yang baru Tan Sri Ismail Omar yakni menggantikan Tan Sri Musa Hassan yang tamat kontraknya pada 12 September 2010. Semoga pelantikan KPN baru ini akan menyambung keberkesanan dan kejayaan pihak polis dalam menjaga keamanan serta keharmonian negara. Ucapan selamat bersara kepada Tan Sri Musa Hassan dan tahniah di atas segala curahan bakti yang diberikan kepada negara khususnya membantu keharmonian negara pada masa kini. Apa yang diharapkan kepada mandat baru ini akan lebih memperbaiki mutu dan meningkatkan prestasi kejayaan dalam semua aspek hala tuju keamanan negara. All the best.

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar yang memulakan tugasnya hari ini berjanji akan memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat dan negara dengan berpaksikan undang-undang dan bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya.

Beliau berkata, tanggungjawab berat yang digalasnya memerlukan sokongan dan kerjasama erat daripada semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam merealisasikan objektif PDRM berlandas Akta Polis Perkara 3 (3).

“Tidak ada seorang KPN yang mampu menjalankan tugasnya sendirian dengan kudrat yang ada tanpa bantuan dan sokongan dari pegawai dan seluruh anggota.

“Saya melihat kepada lapan KPN sebelum ini di mana mereka mampu menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik, dan saya yakin mampu melakukan perkara yang sama dengan bantuan dan sokongan semua pihak,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Mes Pegawai Bukit Aman di sini hari ini.

Ismail berkata, pada hari pertama memulakan tugas, beliau akan bertemu empat mata dengan semua pengarah, timbalan pengarah dan ketua polis negeri.

Terdahulu, Ismail menandatangani serah terima tugas jawatannya sebelum ini kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Hussin Ismail yang dilantik sebagai Timbalan KPN.

Ismail, 57, dilantik sebagai KPN menggantikan Tan Sri Musa Hassan yang tamat kontraknya semalam selepas berkhidmat selama 41 tahun dalam pasukan.

Pelantikan Ismail sebagai KPN dan Hussin, 57, sebagai Timbalan KPN diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 1 September lepas. – Bernama (Utusan Online 13.09.2010)