Salam

Merayau-rayau dalam alam maya ini terjumpa video iklan raya PKNS yang terbaik untuk tahun ini. Begitu menyentuh kalbu walaupun konsep yang diketengahkan lebih kepada hala tuju PKNS sendiri. Namun bagi saya sendiri iklan ini amat terbaik berbanding 2 iklan raya yang sebelum ini saya postkan dalam blog. Boleh tonton iklan raya di bawah ini :

Impian untuk memiliki rumah sendiri untuk ibu bapa yang lebih baik adalah impian saya sejak dahulu ketika bekerja dalam sektor awam dan pernah melafazkan janji kepada arwah bapa bagi memiliki rumah teres. Janji pada awal bekerja awal tahun 2006 dilafazkan sebab niat untuk keselesaan keluarga. Namun, bukan tidak mahu menunaikan janji dek kerana peluang muncul untuk menyambung pelajaran. Akhirnya membuat keputusan meletak jawatan sekitar hujung tahun 2007 dan mendaftarkan diri di universiti walaupun sukar diterima oleh ahli keluarga. Arwah bapa sebaliknya untuk memberikan sokongan untuk saya terus belajar. Mungkin arwah bapa sendiri ingin melihat anaknya mengikut jejaknya mendapat pendidikan tinggi.

Apa pun, iklan ini menyentuh sanubari saya sendiri. Dikejauhan dari kampung halaman dan sejak berada di sini, sudah lama tidak pulang ke kampung untuk beraya. Pulang pun sekadar melaksanakan ROS di sekolah lama. Aktiviti di kampung seperti biasa membaiki rumah dan inilah aktiviti yang saya selalu buat sepanjang ada masa terluang setiap kali balik ke kampung sejak bekerja di Sarawak dulu. Bukan tidak mahu pulang tetapi desakan beberapa sebab. Kali terakhir, awal tahun ini pulang ke kampung apabila bapa meninggalkan dunia ini buat selamanya. Kerinduan membuak-buak kepadanya. Tidak tergambar kesedihan menerima berita pemergiannya. Syukur kami 3 beradik dari Semenanjung sempat untuk menatapnya kali terakhir sebelum dikapankan. Impian memiliki rumah idaman tidak dapat ditunaikan semasa hayatnya.

Saya minta maaf bapa. Tapi saya akan usahakan tidak lama lagi dan jika umur panjang. Saya sedang berusaha ke arah itu. Semoga dipermudahkan.

Hari raya kali ini, tidak lagi berpeluang beraya bersama sejak tahun 2008. Cukup lama rasanya tidak merasakan suasana raya di kampung. Saya rindukan saat itu. Nantikan kepulangan cuti semester hujung tahun ini. 6 Disember 2010 dalam pukul 11.oo pagi semoga dipermudahkan saya akan sampai ke Sabah. Tiket balik kampung sudah sah hanya untuk menanti detik pulangnya. Pastinya aktiviti untuk memperkemaskan rumah, membaiki rumah dan sebagainya. Saya rindukan aktiviti itu.

Untuk ahli keluarga di Kampung Terusan Tengah Semporna Sabah, Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin. Maafkan salah dan silap. Untuk arwah bapa, semoga Allah mencucuri rahmat. Anakmu sentiasa mendoakan kesejahteraanmu di Sana.

YA ALLAH YA TUHANKU, ampunilah segala dosa-dosa orang tuaku, tempatkanlah bapaku ditempat orang-orang yang beriman. Amin.

Ikhlas,

Shorab Syed Ali (Akubah)

11.55am

9.9.2010

KUO, Upsi Perak.