Salam

Sekadar pandangan untuk difikirkan…

Zaman semakin merentas masanya ke arah yang lebih dinamik lagi. Pelbagai isu dan masalah sering melanda tatkala zaman meninggalkan zaman-zaman sebelumnya. Bukan sahaja melibatkan isu politik, ekonomi atau sosial bahkan soal isu remeh-temeh pun menjadi masalah untuk diketengahkan mahupun dipergolakkan. Lain lagi isu-isu politik ketika ini semakin meruncing untuk difikirkan sejauh mana ianya mempengaruhi kepelbagaian isu berbangkit.

Dalam konteks pendidikan yakni tentang dunia perguruan ada sahaja isu-isu mula diperkatakan sejak dari dahulu lagi dan kadang kala ianya terus menerus untuk dicelotehkan oleh pelbagai lapisan. Bukan sahaja pihak yang terbabit yakni guru malahan masyarakat dan juga melibatkan sistem pengurusan di peringkat pentadbiran negara.

Beberapa hari lalu akhbar media cetak dan elektronik ada mengisahkan karenah pelajar yang langsung tidak menghormati guru dengan melakukan kecederaan kepada guru terbabit. Jangan lihat pada masa ini, malahan dari dulu lagi pelbagai karenah pelajar tidak memikirkan siapa diri mereka untuk berbuat demikian kepada seorang guru. Ini bukan lagi kes tidak menghormati guru bahkan sudah menjadi gejala pelajar berlaku biadap kepada guru yang jika kita lihat membantu memajukan diri pelajar. Adakah kes-kes yang berlaku seperti ini cara pelajar menghargai guru mereka? Sama-samalah difikirkan.

Kalau kes ini melibatkan tindakan pelajar kepada guru, begitu juga sebaliknya sering berlaku. Tindakan guru atau pihak sekolah yang dikatakan merosakkan masa depan pelajar sama ada melalui tindakan sendiri mahupun tindakan disiplin yang dirasakan kurang wajar dilakukan seharusnya perlu diketengahkan jalan penyelesaian yang terbaik. Soal siapa yang bersalah, siapa yang betul atau sebaliknya bukan soal ukuran ke arah memantapkan hala tuju pendidikan negara tetapi cara yang berkesan serta konsisten menangani segala permasalahan yang melibatkan kedua pihak semestinya diambil kira agar tidak memudaratkan masa depan semua yang terlibat.

Jika diperhatikan dan dinilai setiap yang pernah menjadi murid atau pelajar pastinya kita akan lebih tahu pengorbanan guru amat mulia mendidik anak bangsa. Namun sering kedengaran luahan atau keluhan guru dengan bebanan kerja yang terlalu banyak sehinggakan kerja pentadbiran juga menjadi bidang kerja. Mungkin itulah cabarannya sebagai seorang guru dengan lambakan pelbagai bidang kerja walaupun sebelum memasuki alam mengajar guru lebih tertumpu kepada aspek teknik pengajaran dan pembelajaran di universiti/maktab masing-masing walaupun sedikit diselitkan bidang lain.

Bebanan kerja sudah menjadi keluhan apatah lagi bagi guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman. Tidak perlu mengisahkan bebanan kerja tetapi cabaran kehidupan di pedalaman dikatakan cukup memeritkan sama ada soal penginapan, kemudahan dan banyak lagi. Adakah ini cabaran yang semestinya dilalui sebagai seorang guru untuk memartabatkan anak bangsa ke mercu kegemilangan? Bagi guru mahupun masyarakat yang tidak mengalaminya pasti akan memperkatakan, sudah menjadi tanggungjawab guru untuk mengajar anak bangsa jadi segala masalah hendaklah dihadapi walaupun perit. Diakui memang itulah sebenarnya namun kena difikirkan juga aspek-aspek cabaran tersebut untuk memantapkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran seorang guru.

Memetik laporan Utusan Online bertarikh 4 April 2010 bertajuk bidang kuasa beban guru dibincang , Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk mengkaji beban guru di seluruh negara. Itulah sebenarnya yang patut dilakukan agar keluhan dan aduan guru-guru yang terlibat dapat diselesaikan mengikut ketetapan jawatankuasa khas yang bakal mencari jalan penyelesaian masalah ini. Keluhan dan aduan seperti yang kita baca dipelbagai sumber atau dengar mungkin amat kurang jika dibandingkan dengan keluhan guru dari pelosok negeri yang kita sendiri tidak tahu disebabkan redha dengan ketentuan menjalankan tanggungjawab mereka.

Justeru, kepada bakal-bakal guru pengalaman guru-guru terdahulu dan sekarang ini sudah menjadi sahutan untuk menjalankan kewajipan yang sama kelak. Siap siagakan diri dengan isu-isu yang sudah dan semakin diketengahkan agar ianya menjadi pendorong untuk lebih memperkasakan jati diri seorang guru mendidik anak bangsa. Soal gaji dan imbuhan elaun bukan lagi persoalannya kerana acap kali kita mendengar peruntukan mahupun bajet disediakan untuk guru-guru sudah cukup memadai walau di mana pun tempat menjalankan kewajipan lebih-lebih lagi imbuhan elaun kawasan pedalaman yang sudah cukup merangsang bakal guru untuk mengajar dengan tambahan elaun pedalaman yang diumumkan baru-baru ini.

Apa-apa pun, persiapkan diri semasa menjalani atau mempelajari teknik amali dan praktikal serta aspek pelbagai seperti kepimpinan , berpersatuan di universiti/maktab dengan sebaiknya. Bekalan inilah yang lebih penting untuk dikemukakan kepada pelajar-pelajar kita nanti dan pastinya kita sendiri ingin melihat hasil tanggungjawab kita telah memberikan manfaat yang berguna kepada pelajar demi kepentingan memajukan diri pelajar, keluarga khususnya mencapai pemantapan sistem pendidikan negara. All the best.

Akubah

4.41pm

10.04.2010

KUO

Advertisements