KLIK untuk melihat tajuk ini dalam Keratan Akhbar Berita Harian

Salam

Perspektif untuk kita fikirkan !

Usai sudah konvokesyen UPSI kali kali ke-12 sidang pertama sejak bermula 16 hingga 17 Mac lalu. Tahniah dan syabas kepada graduan-graduan yang telah menerima ijazah masing-masing. Mungkin satu kegembiraan tidak terkata saat menerima segulung ijazah yang diimpikan selama ini dengan pengorbanan selama 4 tahun akhirnya sudah ke puncaknya. Jika diselusuri kenangan ketika menjejakkan kaki ke menara gading, ianya juga memberi kegembiraan dan satu lonjakan paradigma kepada mahasiswa dalam erti kata mencari fungsi diri dalam dunia pendidikan.

Bertahun-tahun mengejar impian pastinya pelbagai cabaran datang tanpa diduga. Dugaan belajar, membuat tugasan, karenah rakan dan pensyarah, penglibatan dalam program-program universiti serta kolej acapkali mewarnai kehidupan universiti. Setelah itu graduan sudah menjadi gelaran, satu persoalan berlegar-berlegar dalam minda. Apa hala tuju selepas ijazah diperoleh? Saban tahun dan ketika setiap kali mahasiswa bergraduan pasti akan wujud persoalan ke mana hala tuju mahasiswa selepas memegang segulung ijazah.

Persoalan inilah yang selalu membelenggu mahasiswa yang sedia ada dan bakal mahasiswa untuk cuba mengelakkan persoalan ini ke arah yang negatif yakni hala tuju yang tiada penghujung. Justeru, satu inisiatif perlu difikirkan bersama bagi menilai kemampuan diri seorang graduan untuk penetapan hala tuju yang diimpikan selama ini. Sering kali kedengaran isu-isu graduan menganggur seperti tiada jalan penyelesaian masalah ini. Usaha kerajaan dan pelbagai pihak lain dalam menangani masalah graduan menganggur bukan setakat janji malahan kalau dikaji semula masalah pengangguran juga berbalik kepada mahasiswa itu sendiri sebagai puncanya.

Apa yang penting adalah sejauh mana bakal graduan yang ada sekarang ini memanipulasi segala aspek yang disediakan di universiti dan juga memanfaatkan isu-isu ke arah perkembangan diri sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai keintelektualan tinggi. Persoalan ini menumpukan kepada hala tuju mahasiswa selepas bergraduan selain persoalan yang timbul tentang kerelevanan hubungan program pengajian yang dipelajari dengan alam pekerjaan. Selain itu, personaliti mahasiswa dikenal pasti yang merujuk kepada kemahiran insaniah dalam pelbagai bidang.

Apa yang boleh diperkatakan bahawa secara umumnya seringkali mahasiswa menyatakan hala tuju sebagai mahasiswa selepas bergelar graduan adalah untuk menempatkan diri dalam alam pekerjaan. Namun, itulah cabaran yang terpaksa dihadapi dan sejajar cabaran selepas bergraduan adalah amat getir jika aspek-aspek penting semasa di universiti ataupun sebelum memasuki alam universiti tidak diambil kira.

Lain pula kisahnya dengan persoalan relevansi program pengajian yang dipelajari dengan alam pekerjaan  adakalanya dipandang remeh oleh kebanyakan pelajar yang hendak memasuki universiti. kedengarannya, pelajar dikatakan hanya memenuhi syarat ataupun sekadar mengharapkan mereka dapat masuk universiti. Lantas program pengajian yang dipilih dan pihak Kementerian secara tidak langsung akan menawarkan mereka dengan program pengajian tersebut. Inilah permasalahan yang kadang kala menjadi antara penyebab alam pekerjaan sukar diperolehi.

Selain itu, boleh dikatakan seolah-olah pelajar tidak menghiraukan segala masalah dan tidak memikirkan lebih jauh tentang keadaan di universiti kelak dengan kata lain asalkan dapat masuk universiti.Perkara paling penting dalam alam pekerjaan adalah tentang personaliti diri manusia. Hal ini sebenarnya berkait rapat dengan kepelbagaian bidang dan jenis alam pekerjaan yang memungkinkan mahasiswa bersedia lebih awal. Kemahiran insaniah yang baru sahaja diterapkan dalam universiti walaupun sebelum ini kemahiran insaniah secara tidak langsung sebagai bekalan sebagai mahasiswa berkterampilan.Namun pendekatan untuk tumpuan lebih kepada kemahiran insaniah ini agar tidak diabaikan oleh mahasiswa.

Setiap kursus pengajian diselitkan dengan tahap-tahap dan penilaian kemahiran insaniah kepada diri seorang mahasiswa. Tidak lain tidak bukan bertujuan untuk mencungkil kepelbagaian sikap, bakat dan kemahiran yang ada dalam diri mahasiswa. Setiap mahasiswa mempunyai kemahiran insaniah tersendiri namun ianya juga perlu ditonjolkan dalam universiti bagi memudahkan penilaian dan membiasakan diri terutamanya melibatkan aspek komunikasi.

Justeru, sebagai mahasiswa yang merasakan diri mereka perlu untuk menyahut cabaran selepas bergelar graduan inilah masanya untuk bersiap sedia. Paling penting adalah hala tuju sebagai mahasiswa akan berakhir dengan apa yang diimpikan terutamanya mendapat pekerjaan yang membuatkan diri mahasiswa bergembira dan bukannya berduka menunggu panggilan kerja. Dalam diri mahasiswa sudah dibekalkan kemahiran semula jadi dan ianya perlu diasah untuk diguna pakai bagi kepentingan diri sendiri dan juga pihak lain. Apa yang penting untuk segala persoalan ini bukan setakat kerjasama mahasiswa dan pihak universiti bahkan kesedaran dalam diri mahasiswa itu yang paling utama bagi menjayakan hasrat diri ke arah kejayaan diri sendiri, keluarga, pihak universiti dan negara.

by,

Akubah

9.30am (21.03.2010)

KUO

Advertisements