Salam

Semalam (20.11.09) satu rombongan dari Kolej untuk program Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa KUO pergi ke dua tempat yang aku rasa menarik untuk dikunjungi. Lawatan sambil belajar, sebelah pagi melawat ke Radio Televisyen Malaysia di Angkasapuri KL. Walaupun sebelum ini sudah menjejakkan kaki ke RTM 2 bulan yang lalu sebagai penonton untuk rancangan secara live di TV1dan  kali ini berpeluang pula untuk melawat sekitar perkarangan RTM, Wisma TV dan Radio dan Auditorium Perdana.

Semasa lawatan sempat lagi masuk ke dalam Auditorium Perdana sambil mengikuti raptai pertandingan akhir dikir barat kebangsaan yang akan berlangsung pada ahad ini. Paling menarik adalah mengunjugi konti radio Klasik FM secara live dan Pengarah Program berpeluang bercakap di udara dan nama KOLEJ UNGKU OMAR UPSI ke udara dengan ucapan selamat datang oleh DJ yang bertugas. Terima kasih diucapkan.

Nampak best sebenarnya sebagai DJ sambil-sambil melayan karenah pendengar dan segala ketertiban sepanjang program ke udara hendaklah berjalan dengan lancar.Sepanjang di RTM, banyak ilmu dan gambaran yang jelas diperolehi tatkala kita terkapai-kapai ingin mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam TV atau radio. Penerangan oleh Pegawai yang bertugas untuk mengiringi kami sepanjang berada di sini yang berasal dari Tawau Sabah sedikit mencuit hati. Banyak info yang selama ini kita tak ketahui telah menidakkan segala tanggapan buruk dan negatif oleh pihak-pihak tertentu dalam pelbagai aspek.

Selepas selesai di RTM. sebelah petangnya berangkat pula ke Karangkraf di Shah Alam yang begitu popular dalam mengeluarkan majalah-majalah dan surat khabar (Sinar Harian yang menjadi tatapakan aku setiap hari). Kami dibawa hampir ke semua unit antaranya ruangan editor, ilustrasi, photografi dan kilang memproses semua majalah-majalah ini. Seronok sebenarnya dapat bertemu dengan wartawan-warwatan yang selama ini kita hanya mengetahui nama mereka di dalam setiap majalah dan akhirnya diketemukan walaupun tidak semua.

Di sini juga, kita dapat melihat dan mengetahui tugas seorang wartawan, suasana bekerja dan paling penting adalah keterbukaan mereka untuk menjawab segala pertanyaan di samping memberi tunjuk ajar serba sedikit dunia kewartanawanan dan pengeluaran majalah. Semasa berada di Kilang pemprosesan majalah dan surat khabar nampak begitu teratus sistem yang dibuat. Sistem rangkaian dan penghubung segala majalah untuk ke proses untuk disiapkan menjadi majalah begitu tersusun dan menarik untuk diperhatikan. Untuk pengetahuan bahawa, Karangkraf ini dimiliki atau diasaskan oleh orang bumiputera sendiri yakni orang melayu.

Kalau diperhatikan kawasan sekitar Karangkraf terdapat banyak syarikat-syarikat luar negara yang beroperasi. Bayangkan di sekitar itu, ada syarikat yang menjadi kebangsaan kita iaitu hasil usaha orang Malaysia sendiri. Semasa majlis penutup, kami sempat berinteraksi dengan pengasas dan pemilik Karangkraf yang sudah berjaya. Pelbagai persoalan yang dikemukan oleh kalangan kami dan setiap jawapan pastinya memberi pendorong kepada kami untuk berjaya dalam setiap apa yang diusahakan. Masih aku ingat dan petik kata-kata beliau adalah ” setiap apa yang dikehendaki itu mesti diusahakan betul-betul dan semangat serta ikhtiar untuk mendapatkannya “.

Lawatan ini memberi sedikit sebanyak pengalaman dan ilmu setidak-tidaknya dalam mengharungi dunia mahasiswa ini. Apa pun kepada rakan-rakan yang terlibat semoga dapat memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi.

Nantikan dalam akhbar Sinar Harian Edisi Negeri Perak dan dalam Majalah Karangkraf (aku lupa dah apa nama majalah tu) tentang lawatan kami ini keluaran akan datang seperti yang dimaklumkan oleh wartawan Karangkraf. Pengarah Program, Saudari Hani tentunya seronok apabila ditemuramah oleh wartawan tentang program kendaliannya. Terima kasih banyak kepada semua yang terlibat.

P/S : aku tak ada gambar untuk diletakkan bersama tulisan ini, jurukamera program masih menyimpannya ….hehe..

6.20pm

21.11.2009

KUO

Advertisements