‘Ia’ datang lagi saat dia baru mengharungi cabarannya di alam universiti. Dua hari berlalu, ‘ia’ seringkali mengekori dia. Melangkah ke dewan cabaran, ‘ia’ makin menggelodak diri dia. Tatkala pena di tangan menukilkan idea, ‘ia’ semakin menggusarkan. Kenapa ‘ia’ datang lagi? Dia keluh hanya mampu menahan. Tangan terketar saat pena menyentuh muka kertas cabaran. Semakin pena menukilkan, tangan semakin terketar. Dia menahan tangannya untuk mengelak terketar, dia menang. Nukilan pena terus menerus melingkari kertas cabaran. Seketika tangan dia terketar juga, pena direhatkan untuk memberi ruang tangan berhenti terketar. Disambung lagi sehinggalah penamat masa cabaran sehinggakan kertas cabaran tidak sempurna untuk diharungi. Ada sekelumit nukilan perlu diabadikan bersama kertas cabaran namun masa tidak membenarkan. Dibiarkan. Sudah berusaha. ‘ia’ mungkin gembira tetapi dia begitu kecewa. Kenapa semua ini dia perlu hadapi mengharungi ‘ia’? Tidak gembira lagikah dengan kedatangan ‘ia’ suatu ketika dulu?

Kegelisahan seminggu yang lalu dialami dia, sudah menandakan ‘ia’ akan menjenguk semula. Keresahan saat mengumpul tenaga untuk menghadapi cabaran sebenarnya ‘ia’ sudah berada bersama. Dia dilalaikan seketika. Baru membelek-belek tenaga untuk menghadapi cabaran  ‘ia’ sudah menerpa. Dia terlayan juga ‘ia’. Bukan melayan kerana apa, ketidakmampuan menghadapi ‘ia’. ‘ia’ memang kuat. Tenaga cabaran dibiar tanpa ditimba. Terbiar begitu. Adakah ini akan berterusan melanda dia? Ada empat cabaran lagi selepas ini dia tempuhi. Tempoh mengumpul tenaga semula akan bermula lagi. Tetapi dia takut, ‘ia’ pasti bersama di sisi. Kalau dia nampak ‘ia’ pasti dia dapat melawan. Namun, ‘ia’ berada disegenap tubuh dia. Tidak mampu disingkirkan atau dia sendiri yang sukar menidakkan kehadiran ‘ia’. ‘ia’ sudah bersama. Sesekali ‘ia’ marah, pasti dia tidak bermaya. Amat payah, dia hanya mampu memejamkan mata dan rehat sepenuhnya untuk menenangkan ‘ia’. Kadangkala berhasil, kadangkala terus bermaharajalela. Sukar. Terkedu. Terasa perit ditanggung. Dia dalam sujud terakhir solatnya, kadangkala air mata membasahi mata. Kadangkala dia tersedu tambah lagi aliran deras si air mata. ‘ia’ bila lagi tertewas? Namun, sejak dulu dia tidak putus asa menghadapi ‘ia’ kerana dia tahu itu dugaan dari Yang Maha Esa. Hanya mampu berdoa dijauhkan dari segala malapetaka. Minta petunjuk mengharuhi ‘ia’.  Semoga dia sentiasa mendekatkan diri kepada Pencipta agar ‘ia’ tewas jua akhirnya. Dia memohon diberikan keinsafan.

Persoalannya, siapa ‘ia’ dan siapa dia?