16 Sept. Hari Malaysia cuti umum

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Mulai tahun depan, ulang tahun sambutan Hari Malaysia pada 16 September diisytiharkan sebagai cuti umum di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan itu yang dibuat oleh Jemaah Menteri baru-baru ini bertujuan mengingati sejarah penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Menurutnya, ini bermakna mulai 2010, rakyat akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Tambah beliau, menerusi Hari Malaysia, kerajaan mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak selepas mereka membuat keputusan untuk menyertai Malaysia sejak 1963 turut dirasai penduduk di Semenanjung.

“Hari Merdeka pada 31 Ogos kekal diraikan bagi mengingati perjuangan mencapai kemerdekaan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan untuk mengingati detik bersejarah itu.

“Hari Malaysia pula dirayakan dengan acara-acara bersifat mengerat perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat dalam bidang sukan, sosiobudaya, dan kesenian bagi menyemarakkan semangat 1Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr. Marcus Majigoh (BN-Putatan) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Majigoh sebelum itu ingin mengetahui sejauh mana penerimaan rakyat ke atas seruan ‘kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia’.

Perdana Menteri menjawab soalan Majigoh itu serentak dengan 15 soalan Ahli Parlimen lain yang turut menyentuh isu serupa.

Dalam pada itu, Najib menambah, bagi meningkatkan lagi perhubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kekerapan penerbangan akan dipertingkatkan, pembinaan prasarana bakal diperbanyakkan dan isu kerakyatan akan diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Dalam jawapan lisan itu juga, Najib mengambil kesempatan menerangkan bahawa gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri telah menjadi gagasan yang digemari ramai khususnya generasi muda.

“Boleh dikatakan tahap pertama dalam pelaksanaan gagasan 1Malaysia telah mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita berdoa semoga niat suci kerajaan untuk memupuk perpaduan tulen benar-benar berjaya,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Majigoh sama ada negara ini wajar mempunyai satu identiti bangsa seperti di Indonesia, Thailand dan Filipina, Najib menjelaskan, beliau bersetuju dengan pendapat tersebut.

Bagaimanapun, katanya, asas pembinaan negara sejak dari awal lagi berasaskan mengintegrasi dan bukannya mengasimilasi seperti yang berlaku di Indonesia, Thailand dan Filipina.

“Ini menunjukkan kepimpinan kita dari awal lagi bersifat terbuka dan inklusif kerana kerajaan melihat itulah jalan terbaik apabila kita dapat menampilkan suatu kekuatan berdasarkan bersatu dalam kepelbagaian.

“Tidak ada negara lain yang unik macam Malaysia. Kita berpegang kepada teras perlembagaan dan boleh menerima unsur-unsur yang berbeza sebagai budaya yang terkandung di bawah bumbung 1Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) mengenai dasar Islam Hadhari, Perdana Menteri berkata, setiap dasar baru merupakan kesinambungan kepada dasar terdahulu dengan mendasari nilai menyokong usaha mencapai Wawasan 2020.

Menurut beliau, tidak mungkin sesuatu dasar yang digubal itu boleh berjaya dalam satu penggal kerana ia merupakan kesinambungan perjalanan yang panjang.
sumber : utusan.com.my(20.10.09)

Salam

Best apa cuti umum dah bertambah. Satu kelebihan kepada kakitangan kerajaan mahupun sesiapa sahaja yang terlibat berkaitang dengan kerajaan seperti sekolah atau sebagainya. Tarikh 16 September 1963 adalah satu tarikh yang cukup memberi erti kepada negara khususnya ke arah penubuhan Negara Malaysia bersama dengan Negeri Sabah dan Sarawak. Agaknya itulah yang lebih baik untuk mengenang semula tarikh penting ini walaupun sering kali dipinggirkan akibat tumpuan utama kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Walaupun tarikh ini begitu penting kepada sejarah Malaysia, 16 September juga sebenarnya amat bermakna kepada warga Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak apabila bersama-sama meraihkan hari kemenangan sejagat.

Mungkin semua masih ingat dengan isu dan kegemparan kononnya ada pihak yang dikatakan akan menukar tampuk kepimpinan negara pada 16 September 2008, namun sudah setahun berlalu ianya bagaikan terasing begitu sahaja. Bertepatanlah dengan tarikh 16 September tu adalah tarikh Sabah dan Sarawak bergabung dengan Malaysia dan mungkin juga pihak ini menggunakan tarikh ini untuk mengaplikasikan bahawa pemimpin Sabah dan Sarawak akan bergabung dengan pihak ini bagi membentuk kerajaan baru. Point mudah. Apa pun, jadilah warganegara yang menumpukan taat setia kepada raja dan negara. All the best.

Advertisements