Ketua kampung bantu pendatang dapat MyKad akan dipecat

TUARAN: Tindakan undang-undang akan diambil termasuk menamatkan perkhidmatan ketua kampung yang didapati terbabit membantu dan mempermudahkan pendatang asing tanpa izin mendapatkan MyKad di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor, berkata MyKad adalah hak istimewa rakyat Malaysia dan tidak layak dimiliki pendatang tanpa izin.

“Kita tidak mahu pendatang tanpa izin memperoleh MyKad ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di sini semalam.

Hajiji diminta mengulas dakwaan timbalan ketua Parti Keadilan Rakyat Sabah Datuk Kong Hong Ming minggu lalu mengenai wujudnya usaha mendaftarkan pendatang tanpa izin di Kampung Kalabakan Tengah, Tawau bagi mendapatkan MyKad seperti yang disiarkan akhbar tempatan baru-baru ini.

Kong, dalam kenyataannya, mendakwa ramai pendatang tanpa izin dari negara jiran dibawa ke kampung terbabit menggunakan bas dan teksi untuk mendaftar dalam operasi yang didakwa dijalankan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau dan Kota Kinabalu.

Hajiji berkata dakwaan itu akan disiasat dan jika dibuktikan benar mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan. – Bernama

Sumber : bharian.com.my (07.09.09)

ULASAN AKUBAH :

Kes ini lebih sama sahaja disetiap kampung. Kadang-kadang juga pendatang tidak tahu mereka nak berurusan cara betul. Apabila ditawarkan sebegitu dan janji bagi duit seperti yang diminta, mereka akan terima sahaja. Tapi memang salah, pendatang tetap pendatang. Cara masuk pun dah salah, apa lagi bila terus menetap. Aku pun ada juga keluarga di negara Pilipina, selalu mereka datang ke Sabah dan akan balik. Tiadanya nak menetap. Datang ke sini pun sebab nak melawat sanak saudara di Sabah. Ada juga yang keluarga yang terus menetap dengan tiada dokumen pengenalan diri, sehinggakan ada yang bekerja. Terpulanglah kepada mereka untuk mencari rezeki, janji selamat dan dapat berurusan mendapatkan dokumen yang sah.

Belum lagi kes yang lahir di Sabah tapi tiada dokumen pengelanan diri, nak sekolah pun susah. Apa lagi nak bergerak ke sana sini untuk mencari rezeki. Asyik terkongkong di kampung dek takut ditangkap polis. Hakikatnya lahir di sini, akibat cara berurusan yang salah dan ditipu oleh sesetengah pihak menyebabkan perkara ini berlaku. Empunya diri hampir 9 tahun berurusan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri, bayangkanlah dalam tempoh tu apa yang dibuat. Sana sini berurusan, masalah masuk surat pembaca dalam paper, duit lagilah terbuang macam tu saja.

Namun keyakinan perkara ini akan selesai, berusaha untuk terus belajar. Kadang-kadang hampir putus asa untuk tidak mahu lagi bersekolah disebabkan masalah ini. Terniat dan merajuk juga untuk pergi ke Pilipina untuk duduk sana saja. Di sekolah lagilah kawan-kawan memperli kita ni PTI. Mula-mula sakit hati juga namun dah terbiasa, buat tak tahu saja. Janji datang sekolah untuk belajar. Masalah lain tidak perlu difikirkan semasa belajar, pasti akan mengganggu.

Tidak perlulah dicoretkan lagi sedalam-dalamnya, tugasan individu aku semester lepas sudah aku coretkan segalanya tentang masalah ini. Aku sendiri menjadi respondennya. Berpuas hatilah juga dengan markah yang diberikan. Apa pun, apa saja masalah datang, hadapilah dengan tenang dan aku nasihatkan untuk diri aku juga.

11.33am (07.09.09)

KUO

Advertisements