Ramai peluk Islam menjelang Ramadan

Saudara baru turut cuba amalan berpuasa

SINGAPURA: Satu Ramadan merupakan tarikh yang penuh bermakna bagi Rifa Althea Icawalo, 25 tahun. Ini kerana Rifa mula berpuasa secara rasmi sebagai seorang Muslim, bersama umat Islam yang lain. Beliau juga memilih tarikh itu untuk memeluk agama Islam.

Minat Rifa, seorang warga Filipina, terhadap agama Islam disemai sejak di Filipina lagi. Menurutnya, di Filipina, beliau mempunyai ramai rakan yang beragama Islam.

Namun, minatnya bertambah apabila Rifa bertemu dengan tunangnya, Ridzuan Salim, 24 tahun, lebih setahun lalu.

Apabila ditanya mengapa beliau memilih untuk memeluk Islam pada hari pertama puasa, Rifa berkata, 1 Ramadan adalah hari sangat bermakna dan mulia baginya dan setiap Muslim.

Walaupun tahun ini adalah tahun pertama Rifa berpuasa sebagai seorang Muslim, ia bukanlah puasa pertamanya.

“Pada tahun lalu, saya pernah cuba untuk berpuasa. Tetapi, apabila tidak dapat menahan dahaga, saya minum air,” ujar anak bongsu tiga beradik itu.

Kini, Rifa berusaha untuk berpuasa dengan sepenuhnya. Namun, beliau menghadapi cabaran yang sama seperti seorang kanak-kanak yang baru berjinak-jinak hendak berpuasa.

Antara cabaran yang dihadapi Rifa ialah menahan dahaga, terutama pada hujung minggu jika perlu ke pasar.

“Saya sukar untuk menahan dahaga. Tambahan pula, cuaca yang panas ini tidak banyak membantu,” tambah Rifa.

Bagaimanapun, Rifa adalah orang pertama dalam keluarganya untuk bangun bersahur.

Menurut tunang beliau, Ridzuan, selain menjadi orang yang pertama untuk bangun bersahur, Rifa juga membantu ibu Ridzuan menyiapkan sahur.

Seorang lagi yang memeluk agama Islam beberapa hari sebelum bermulanya Ramadan ialah Jasmin Chia, 35 tahun. Chia memeluk Islam pada 17 Ogos lalu.

Menurutnya, beliau terbuka hati untuk memeluk Islam sejak dua tahun lalu. Namun kesempatan hanya datang beberapa hari sebelum berpuasa.

Chia, yang puasa buat pertama kali, hanya bertahan sehingga 4 petang pada hari pertama dan kedua Ramadan.

“Saya tidak dapat menahan dahaga. Namun begitu, setiap hari saya panjangkan waktu saya berpuasa dan berusaha untuk puasa sepenuhnya.

“Sebagai seorang yang baru saja mula berpuasa, saya tidak ingin kelam-kabut,” ujar janda dua anak itu.

Bagi Aiman Peters Abdullah, 38 tahun, yang memeluk Islam pada 19 Ogos pula, pengalaman berpuasa memberinya ketenangan.

Menurut Aiman yang berminat terhadap agama Islam sejak 15 tahun yang lalu, ini bukanlah puasanya pertama.

“Beberapa tahun yang lalu saya pernah berpuasa. Tetapi ia tidak sama dengan puasa saya sekarang. Kini, saya dapat menikmati puasa sebagai seorang Muslim yang sah,” ujar duda tiga anak itu.

Pengarah Jabatan Perkembangan Mualaf, Darul Arqam, Dr Siti Maryam Malinumbay, berkata: “Ia seperti arah aliran untuk saudara baru memeluk agama Islam sebelum Ramadan. – Agensi

Sumber : www.bharian.com.my (07.09.09)

Advertisements