stress

Stress mungkin baik untuk anda?

BARU-BARU ini seorang ibu membawa anak lelakinya berusia tujuh tahun menemui doktor pakar setelah anaknya mengalami demam yang berpanjangan sejak memasuki tahun satu sekolah rendah pada 5 Jan lepas.

Sebelum ini, doktor yang merawat budak lelaki tersebut telah menyatakan bahawa dia bebas daripada penyakit yang serius.

“Setiap kali saya bawa anak ke klinik atau hospital, mereka (doktor) hanya bagi ubat untuk demam. Ujian darah pula menunjukkan tiada apa-apa penyakit”, ibu tersebut, yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah, memberitahu penulis di sini baru-baru ini.

“Anak anda adalah normal. Mungkin dia stress kerana masih belum dapat menyesuaikan diri di persekitaran baru sekolah”, itulah antara kata-kata oleh pakar kanak-kanak tersebut kepada Rahimah semasa sesi rawatan di kliniknya.

Apa itu stress

Menurut Dr Hans Selye, pengasas teori stress, stress merupakan satu gejala tindakbalas yang tidak spesifik oleh individu terhadap beban yang datang dalam bentuk keresahan yang disebabkan cabaran, ancaman atau perubahan yang memerlukan respon.

Bertentangan dengan persepsi ramai orang, stress boleh dibahagi kepada stress yang baik atau positif yang dikenali sebagai ‘eustress’ dan yang buruk atau negatif ‘distress’.

Pegawai perubatan di sebuah institusi kesihatan di sini, Dr S. Mogan berkata, stress yang positif boleh membuatkan seseorang lebih berhati-hati, fokus dan kreatif dalam kehidupan harian.

Menurut sejarah, Alexander Graham Bell mencipta telefon, alat yang mencetus revolusi dalam bidang perhubungan, ketika ingin membantu tunang beliau yang telah hilang pendengaran. Sukar untuk didefinisi

Kata Dr Mogan, memang sukar untuk memberi definisi mengenai stress kerana ia suatu aspek yang subjektif.

“Kalau anda tanya 10 orang tentang apa yang sebabkan mereka rasa stress, maka anda mendapat 10 jawapan yang berlainan.

“Sebabnya tiada definisi tentang stress yang dipersetujui semua, apa yang stress bagi seseorang mungkin perkara yang menyeronokkan atau tiada apa-apa bagi orang lain.

“Contohnya, penunggang motosikal akan berasa gembira bila dapat memecut kenderaan mereka manakala ini perkara yang menakutkan bagi orang lain. Menang dalam perlumbaan mungkin lebih stress daripada kalah tapi ini merupakan stress yang baik”, kata beliau.

Menurut pendidik Fatimah Mansur, stress melonjakkan produktiviti seperti bila pelajar menghadapi peperiksaan.”Pelajar berusaha dengan lebih keras bila peperiksaan telah hampir manakala pekerja di pejabat bekerja dengan lebih cepat bila waktu pulang sudah dekat”, kata beliau.

Fatimah berkata, orang ramai perlu mendapat stress yang sesuai untuk produktif dalam kehidupan seharian. “Anda boleh guna dan gembleng stress untuk menjadi lebih produktif”, kata Fatimah lagi. Risalah Kementerian Kesihatan

Menurut risalah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, antara punca stress ialah beban kewangan, masalah rumahtangga, menunggu terlalu lama, mangsa buli, beban kerja yang tinggi, suasana persekitaran yang tidak sihat, rasa rendah diri, kesesakan jalan raya, serta tragedi.

Seseorang yang mengalami stress akan menunjukkan kegelisahan, risau keterlaluan dan gangguan emosi, insomnia (tidak dapat tidur), kurang fokus dan tumpuan kerja serta resah dan cepat marah. Mereka digalakkan mengambil 10 langkah ‘B’ iaitu bertenang, bernafas dengan dalam, berkata ‘relakslah’, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikiran positif.

sumber : BERNAMA

Penyelesaian

STRES atau tekanan boleh mendatangkan pelbagai masalah negatif kepada individu sama ada dari segi fizikal dan emosi. Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan boleh mengundang risiko kepada masalah mental seperti kegelisahan dan kemurungan.

Memang sukar untuk mengelakkan punca stress secara menyeluruh, tetapi kita mampu berusaha menangani tanda awalnya dengan menjana sikap positif melalui minda dan emosi.

Jadikanlah matlamat hidup kita untuk mencapai keseimbangan dan keharmonian hidup dunia dan akhirat. Luangkan masa yang mencukupi untuk kerjaya, perhubungan, kemesraan dan aktiviti santai yang merehatkan.

Berurut atau mengunjungi spa bagi merehatkan minda dan badan untuk yang berkemampuan adalah antara cara menghilangkan stres. Dengan urutan yang betul, ia mampu mengurangkan tekanan darah dan melegakan kekejangan otot, disamping bauan segar yang boleh merehatkan minda.

Bercuti juga mampu mengurangkan stres terutama di tempat kerja kerana ia membantu melupakan seketika masalah dan tekanan kerja. Bersantai di hujung minggu atau mengambil cuti ini boleh menenangkan fikiran. Cubalah terokai keindahan air terjun, pantai, tanah tinggi dan pulau di Malaysia yang menjanjikan ketenangan.

Bagi yang beragama Islam, membaca al-Quran adalah terapi terbaik untuk membuatkan jiwa menjadi tenang selain menunaikan solat sunat.

Selain itu, tidur mencukupi juga perlu kerana tidur adalah elemen rehat paling penting untuk tubuh serta minda supaya dapat kembali bertenagan secara fizikal dan mental keesokan harinya.

Mereka yang berdepan masalah ini dinasihatkan berkongsi suka-duka masing-masing bersama seseorang yang memahami kerana stres mampu dikurangkan dengan cara itu dan sebarang masalah lebih mudah diselesaikan secara perbincangan atau menulisnya dalam diari atau blog.

Ada yang mengatakan membeli-belah adalah satu terapi untuk mengurangkna stress. Tidak salah untuk mencuba kerana ia juga sedikit sebanyak mampu menjana ekonomi negara tetapi hendaklah berpada-pada supaya hutang tidak menimbun.

Amalkan gaya hidup sihat seperti bersenam secara teratur dan elakkan pengambilan kafein serta alcohol secara berlebihan selain memilih pemakanan sihat dengan melebihkan bijiran, sayuran dan buah.

Lebih menjimatkan, jika anda mempunyai pengisar buah dan menggunakannya untuk menghasilkan jus buah dan sayur. Minumlah setiap pagi jus buahan dan sayuran yang segar bagi menambah kesihatan minda dan badan.

Berkebun juga antara aktiviti yang boleh menghilangkan stres. Walaupun ia kadang kala memerlukan tenaga tetapi apabila peluh keluar badan menjadi lebih sihat dan minda lebih tenang apabila melihat hasil yang ditanam dapat dituai.

Stres juga boleh dihilangkan dengan mempunyai hobi yang berfaedah seperti memancing, merakam gambar, berenang dan membaca.

Sumber : Berita Harian, 8 Julai 2009

Advertisements