Salam

6hb Jun yang lalu dimaklumkan keputusan peperiksaan semester 2 sesi 2008/2009 sudah boleh disemak melalui laman web dan juga menggunakan sms. Keputusan peperiksaan ini memberikan penilaian setakat mana tahap diri seorang mahasiswa dalam bidang akademik dimanfaatkan sepenuhnya. Antara teori dan aplikasi diterjemahkan bersama sama ada untuk membuat tugasan atau menjawab soalan peperiksaan. Kadang kala persoalan menyinggahi benak pemikiran untuk dibicarakan bersama iaitu sejauh mana teori dapat diaplikasikan sepenuhnya dalam apa jua bidang yang dipelajari khususnya dalam kursus pengajian selama di Universiti. Sekali pandang, teori mudah untuk dipelajari dengan hanya membaca, memahami dan juga mentafsir. Manakala aplikasi pula lebih kepada istilah perbuatan atau perlakuan sebenar daripada teori yang dipelajari. Adakah teori yang dipelajari diaplikasikan sepenuhnya? Atau ianya sekadar teori yang terawang-awang tanpa diaplikasikan oleh seseorang seperti yang dikehendaki oleh sesuatu teori? Ataukah teori ini seseorang hanya lebihkan kepada penilaian di atas kertas peperiksaan dan akhirnya berjaya? Semua persoalan ini menjadi titik tolak kepada pencarian seseorang yang mempelajari sesuatu sama ada dapat dimanfaatkan ke arah yang disepatutnya atau hanya untuk syarat menjawab kertas peperiksaan.

Bukan menidakkan kepintaran seseorang itu dalam huraian teori pengajaran bahkan disanjungi kepintaran tersebut. Manusia ada tumpuan bidang masing-masing. Jadi tidak salah seseorang itu tertumpu kepada bidang tersebut jika itu adalah diri sendiri yang tentukan. Permasalahannya adalah bidang yang dipilih oleh seseorang itu pastinya akan memenuhi kehendak masyarakat atau siapa sahaja, justeru bidang tersebut perlu dipelbagaikan sama ada melibatkan teori mahu pun aplikasi. Iaitu tidak hanya pada bidang teori semata-mata bahkan bidang teori itu dapat dibuktikan serta diaplikasikan untuk menjadikan bidang tersebut seperti satu kejayaan dalam pengajaran dan juga aplikasi kepada kehidupan. Perhatikan sahaja pada zaman ini, keindahan kata-kata, putar belit lidah dek kerana kepintaran menggunakan teori segala ruang penipuan telah wujud. Aplikasi dalam erti kata yang salah, menggunakan teori yang bertentangan dengan aplikasi sebenar. Alasan mudah, ingin mengecapi sesuatu tanpa susah payah. Kepintaran akal dan teori sendiri menjadikan diri leka dan aplikasi kehidupan jauh dari panduan hidup sebenar. Itu adalah kaitan antara teori dan aplikasi. Mungkin ianya berbelit-belit, tetapi mungkin juga mudah difahami antara teori dan aplikasi.

Berbalik kepada keputusan peperiksaan, semua menginginkan keputusan yang baik dan cemerlang pastinya dengan usaha yang telah dilakukan. Namun, ada yang berjaya mendapat apa yang disasarkan dan ada juga yang kecewa. Mungkin usaha tidak setimpal dengan apa yang diperolehi. Bagi di Universiti, peperiksaan adalah penentu kepada sebahagian markah dalam satu-satu kursus program yang diambil. Ada juga kursus yang tidak melibatkan peperiksaan dan hampir banyak kepada aplikasi seperti tugasan, pembentangan, reka cipta dan inovasi. Teori pengajaran terus kepada aplikasi pengajaran. Adakah aplikasi yang banyak ini membantu diri seorang mahasiswa untuk lebih berkreativiti, bermotivasi, berkemahiran dan sebagainya? Apabila keluar kelak dari Universiti untuk mencari kerja , kemahiran-kemahiran, kreativiti atau aplikasi akan lebih dipastikan oleh majikan bagi mencari seseorang pekerja yang benar-benar bijak dalam urusan kerja iaitu bukan hanya berilmu malahan ilmu diamalkan sebaik mungkin dengan perbuatan dan kelakuan yang membantu perkembangan kerjaya yang diceburi. Setakat bijak dalam ilmu, amat sukar dan mengambil masa yang lama diaplikasikan kepada amalan yang dikehendaki oleh kerjaya. Mungkin ada orang yang persoalkan, kalau sudah bijak, berilmu tentu boleh mengaplikasikan segalanya. Ya memang boleh mengaplikasikan segalanya tetapi sejauh mana dapat dilakukan? Berbanding dengan individu yang telah lama mengaplikasikan ilmu di universiti dulu. Bila dperhatikan memang bijak berkata-kata, namun sekadar berkata-kata yakni terhasilkan “outcome speaking” atau pun “outcome learning”?

Di universiti sahaja telah banyak program-program yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengadaptasikan diri kepada pelbagai situasi dan suasana yang bukan sahaja kepada pembelajaran dalam kuliah malah untuk luar kuliah yang berbentuk kepimpinan, tanggungjawab dan kemahiran-kemahiran tingkah laku. Setiap program biasanya akan menyediakan hasil program yang bermanfaat kepada siapa yang terlibat secara zahirnya namun secara batinnya terpulang kepada diri seseorang itu untuk difikirkan atau pun diaplikasikan lebih dalam lagi. Program-program ini adakalanya kurang mendapat sambutan dan yang terlibat hanyalah pihak yang menganjurkan bersama ahli jawatankuasa. Agak menyedihkan tiada sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa sendiri dan hanya pihak yang sama sahaja yang terlibat setiap program yang dianjurkan. Alasan yang acapkali kedengaran daripada mahasiswa sibuk dengan tugasan, belajar dan hal lain. Mampukah sibuk dengan tugasan dan belajar ini membantu mahasiswa untuk menobatkan diri mereka sebagai mahasiswa yang pelbagai guna. Pelbagai guna bermaksud memanfaatkan diri mahasiswa dalam pelbagai bidang dan program yakni tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata. Sukar sebenarnya untuk menarik minat mahasiswa untuk melibatkan diri, hanya program yang diwajibkan mahasiswa lantas menceburkan diri. Bagaimana aplikasi bidang lain digunakan kalau sukar untuk melibatkan diri? Namun, unsur paksaan hanya menyebabkan hasil kerja mahu pun program berlangsung sekadar menepati syarat dan perjalanan program yang rancang. Selepas program, tiada refleksi diri yang diketengahkan. Mungkin ada tetapi cuma seketika.

Empunya diri berpeluang menyertai beberapa program, bukan menunjukkan diri aktif tetapi sekadar memberitahu situasi sesuatu program sebelum dan selepas diadakan. Pastinya pihak yang sama juga terilbat, pihak lain sekadar pemerhati dan yang paling mendukacitakan mereka berpendapat program-program yang dianjurkan tidak lagi relevan, membosankan, tiada hala tuju dan sekadar menghabiskan masa. Pendapat sebegini cuma mengurangkan semangat pihak-pihak lain untuk melibatkan diri sedangkan pihak universiti dan pihak penganjur berusaha dan sudah menyediakan pelbagai jenis program untuk mahasiswa sertai dan mahasiswa sendiri anjurkan. Ke mana hala tujunya pelbagai program ini diadakan jika mahasiswa sendiri memperlekehkannya? Pastinya universiti ingin mengeluarkan serta melahirkan graduan yang berkaliber dalam pelbagai bidang bukan setakat bidang utama sahaja yakni akademik. Namun, adakalanya pihak universiti dipersalahkan dengan pelbagai tohmahan dan tanggapan yang rasanya tidak bijak dikeluarkan oleh seorang mahasiswa. Rujuk sahaja isu-isu yang timbul dalam forum universiti, amat payah untuk dijelaskan jika mahasiswa ini sekadar berpendapat tanpa mengemukan bukti kukuh dan pendapat yang bernas. Sekadar meluahkan isi hati tanpa keadaan sebenar dikaji terlebih dahulu. Tidak salah menegur pihak itu ini, cuma cara perlu diperbetulkan. Banyak saluran digunakan namun dikatakan tidak akan diendahkan oleh pihak yang ditegur. Apa pun, bersamalah menyelesaikan masalah atau keadaan yang tidak baik secara berhemah dan profesional. Mahasiswa sudah dikatakan bijak dalam memikirkan baik buruk, jika tidak gelaran mahasiswa sekadar gelaran berada di universiti sahaja.

Sudah meleret ke perkara lain, kembali kepada pokok tajuk. Tetapi isi pokok sudah diketengahkan hanya perlu memakan isi untuk dimanfaatkan sekiranya bijak untuk difikirkan. Antara teori dan aplikasi perlu dilakukan secara bersama. Soalan peperiksaan hanya beberapa tajuk teori pengajaran yang diberikan tetapi seluruh pengajaran dan aplikasinya bagaimana pula? Bersamalah kita mempelbagaikan kegunaan gelaran ini yakni MAHASISWA ke arah keberhasilan mahasiswa yang sebenar diluar sana dan bukan sekadar gelaran dilabelkan di universiti.

All the best

Aku bah

2.10pm

Advertisements